Sandro Sedia Gegar Larkin


ALOR SETAR - "Saya dah sedia nak gegarkan gawang musuh di Larkin Sabtu ini," kata import Kedah, Sandro Da Silva.

Pemain kelahiran Brazil itu mengakui menaruh harapan tinggi untuk beraksi dalam saingan merebut Piala Sumbangsih menentang juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu ini.

Dia bagaimanapun mengakui nasibnya sama ada akan diturunkan dalam aksi pembukaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos nanti bergantung kepada keputusan jurulatih, Ramon Marcote.

"Saya kini dalam proses mencapai tahap kecergasan disasarkan jurulatih. Pertemuan pembukaan Sabtu ini cukup penting dan saya tak sabar untuk beraksi bersama pasukan.

"Saya sedar ramai menjangkakan saya belum bersedia, namun selepas berbagai persediaan dan latihan beserta dorongan rakan sepasukan, tahap keyakinan dan proses peningkatan kecergasan saya untuk menghadapi perlawanan meningkat secara positif," katanya.

Sandro, 34, adalah import paling senior dalam skuad Kedah dan sejak beraksi pada tahun 2015, dia sering dilihat sebagai gandingan terbaik import dari Kosovo, Liridon Krasniqi, dengan gerakan ala 'tiki-taka' mereka sering kali memerangkap benteng lawan.

Dia bagaimanapun dikatakan tidak dapat diturunkan dalam aksi menentang JDT Sabtu ini, berikutan kecederaan.

"Saya sentiasa bersemangat untuk beraksi, lebih-lebih lagi di Stadium Larkin nanti untuk merebut Piala Sumbangsih. Jadi jika diberi kepercayaan untuk beraksi Sabtu ini, saya yakin dapat memberi aksi terbaik untuk semua penyokong Kedah sekali gus memastikan Piala Sumbangsih dapat dikembalikan kepada Helang Merah," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com