Safiq Tak Anggap Aksi Mudah Menentang Kedah


JOHOR BAHRU - Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim tidak menganggap ia perlawanan mudah buat pasukan itu apabila sekali lagi berdepan Kedah pada aksi Piala Sumbangsih yang juga pembuka tirai Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Safiq berkata, Kedah adalah antara pasukan hebat di Malaysia dan memiliki kekuatan tersendiri namun JDT juga memiliki kekuatan yang mampu beri tentangan dalam perlawanan itu nanti.

Katanya, pasukan mana yang memberi lebih fokus pada perlawanan maka tidak berdepan masalah untuk mencipta kemenangan tatkala mempamerkan aksi konsisten bagi memburu tiga mata sekali gus menjulang Piala Sumbangsih.

"Apa pun yang mustahak adalah pasukan JDT sendiri kerana kita harus beraksi tanpa tekanan dan beri komitmen tinggi dalam perlawanan itu, tentunya tidak berdepan masalah meraih keputusan positif.

"Mengenai kekalahan kepada Muangthong United pada aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) ia sudah menjadi sejarah dan apa yang kami fokus sekarang adalah permulaan liga.

"Kita harus beri yang terbaik mengikut falsafah yang diterapkan JDT pada musim ini dan pemain tahu tanggungjawab masing-masing. Kami akan beri sepenuh tumpuan pada saingan musim ini," katanya.

Safiq juga menegaskan betapa kejayaan yang pernah dikecapi skuad Harimau Selatan tidak perlu diimbas kembali sebaliknya membuka lembaran baharu pada musim ini bagi memburu kejayaan dengan episod baru.

Dia menolak tanggapan prestasi Hariss Harun yang kembali menyertai JDT pada musim ini tampak kurang konsisten selepas tidak bersama skuad itu pada musim lalu sebaliknya pemain itu bekerja keras menyesuaikan diri dengan corak taktikal yang diterapkan ketua jurulatih, Ulisses Morais.

"Hariss (Harun) masih lagi dengan corak permainannya dan saya tidak nampak dia tidak serasi malah kami mengambil pendekatan belajar untuk meningkatkan kualiti permainan dengan mengharungi satu demi satu perlawanan.

"Positifnya kami mahu tampil dengan corak permainan lebih mantap bagi musim baharu dan ikut perancangan taktikal yang dibentuk jurulatih kerana sebagai satu pasukan kami mengutamakan kerjasama," kata Safiq.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com