Runtuhkan Kubu Kuat JDT - Syazwan Zainon


KUALA LUMPUR - Pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon percaya mereka mampu mencalar rekod bersih Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Larkin sekali gus mempertahankan trofi Sultan Haji Ahmad Shah dalam aksi Sumbangsih malam ini.

Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin dianggap kubu kuat buat Johor DT yang tidak pernah tewas dalam aksi Liga Super sejak 2013.

Biarpun Kedah membawa pulang trofi Sultan Haji Ahmad Shah dari Larkin menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 tahun lalu, perlawanan Sumbangsih itu yang turut memberi mata dalam saingan Liga Super hanya mengambil kira keputusan seri 1-1 dalam aksi sebenar.

Bagi Syazwan, mereka tidak rela untuk membenarkan trofi itu dirampas semula Johor DT.

"Kita akan bertemu Johor DT sekali lagi dan sudah tentu Kedah mahu mempertahankan piala ini. Kali ini pasukan berbeza dengan kedua-dua pasukan menguatkan pasukan dengan membawa masuk pemain baru.

"Memang kelebihan kepada Johor DT yang beraksi di laman sendiri tapi tahun lalu kita sudah buktikan dan pemain-pemain sudah bersedia untuk melakukan sekali lagi," kata pemain kebangsaan itu.

Ia pertemuan menarik dengan Kedah, juara Piala FA mempertaruhkan jurulatih baru Ramon Marcote manakala Johor DT, mendapat sentuhan Ulisses Morais yang dilantik pada Jun tahun lalu.

Bagi Syazwan sendiri, dia tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan esok selepas diketepikan tahun lalu gara-gara kecederaan lutut.

"Tahun lalu saya tak bermain kerana cedera, jadi ini peluang terbaik saya untuk beraksi dalam perlawanan Sumbangsih buat kali pertama. Sudah pasti saya mahukan kejayaan pada penampilan pertama ini dan kami sudah bersedia," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com