Rokok, Minuman Keras RM7j Dirampas AKSEM Perlis


KANGAR - Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis merampas sejumlah rokok dan minuman keras dipercayai cuba mengelak cukai kastam berjumlah RM7 juta dalam operasi di sebuah gudang di Permatang Pauh, Seberang Jaya, Pulau Pinang, kelmarin.

Komander AKSEM Padang Besar, Asisten Superintendan (ASP) Bahari Ahmad, berkata enam individu berusia antara 21 hingga 64 tahun, termasuk seorang warga tempatan dan lima warga Bangladesh dipercayai pekerja di situ, turut ditahan ketika memunggah barangan terbabit.

Katanya, serbuan dilakukan kira-kira jam 3 petang selepas pasukan risikan melakukan intipan selama dua minggu berdasarkan maklumat awam.

"Sejumlah 24,374 karton rokok putih pelbagai jenama dengan nilai termasuk cukai bernilai RM3,604,636 ditemui dalam gudang itu yang dirampas bersama sebuah lori dianggarkan bernilai RM90,000.

"Turut dirampas, 1,814 karton minuman keras bernilai RM3,692,181,39 termasuk cukai Kastam selain lima lori bernilai RM210,000," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bahari berkata, pihaknya percaya operasi di gudang itu bermula sejak tiga bulan lalu dan bekalan rokok putih serta minuman keras adalah untuk edaran di utara Perak hingga ke Perlis.

Katanya, pihaknya menyerahkan keenam-enam suspek dan hasil rampasan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com