'Rock Kapak' Ditahan Disyaki Cabul Kanak-Kanak Perempuan


PELABUHAN KLANG: Seorang pemandu lori berusia 61 tahun ditahan di Jalan Pelabuhan Utara, di sini, selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Amar Ramli, berkata suspek yang dikenali sebagai 'Rock Kapak' ditahan di sebuah gerai makan selepas bapa mangsa yang juga rakannya membuat laporan polis.

"Pada 4 Februari lalu, pengadu (bapa mangsa) dimaklumkan oleh ibunya melalui panggilan telefon bahawa anak perempuan pengadu dicabul oleh suspek yang baru dikenalinya seminggu sebelum kejadian.

"Kejadian berlaku pada jam 5.30 petang iaitu selepas mangsa bersama-sama bapa dan adiknya yang berusia lapan tahun pergi ke taman permainan di Pendamar. Ketika mahu pulang, suspek mengajak pengadu minum di bawah sebuah flet di kawasan berdekatan.

"Ketika mahu pulang, suspek meminta mangsa menaiki kereta dengannya untuk dihantar balik dan dibenarkan bapanya, manakala pengadu pulang bersama-sama anak bongsunya," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Shamsul Amar berkata, ketika dalam perjalanan pulang, suspek memberikan telefon bimbitnya kepada mangsa untuk bermain permainan dalam telefon itu sebelum memegang kedua-dua payudara dan juga kemaluan mangsa.

Katanya, apabila sampai di rumah, mangsa menceritakan kejadian itu kepada neneknya, menyebabkan wanita itu menghubungi bapa mangsa.

Beliau berkata, pengadu membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada petang Isnin lalu.

Katanya, susulan laporan polis itu, polis memberkas suspek di sebuah gerai makan di Jalan Pelabuhan Klang, di sini.

"Sewaktu tangkapan, polis turut merampas sebuah tablet jenama Samsung, serangkai kunci kereta suspek dan sebuah kereta jenis Proton Saga," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan rogol selain dibebaskan dari penjara pada 2005.

"Siasatan juga mendapati susspek sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, bagaimanapun tidak diketahui di mana mereka berada. Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Februari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com