RM10 Juta Diperuntukan Kerajaan Baik Pulih Skim Pengairan Bukit Sena


ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan sejumlah kira-kira RM10 juta bagi kerja-kerja pemulihan semula infrastruktur sedia ada pada Projek Skim Pengairan Bukit Sena, Kampung Bukit Sena, di Padang Terap.

Exco Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, program pemulihan ini secara tidak langsung memberi sinar baharu kepada 822 petani yang mengusahakan 815 hektar sawah selepas berdepan dengan masalah air untuk pertanian.

"Selepas projek ini siap pada 2011 terdapat beberapa kelemahan yang timbul sehingga ada petani ataupun pekebun tidak mendapat bekalan air yang secukupnya dan bergantung kepada air hujan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Rumah Pam Skim Pengairan Bukit Sena, di sini, pada Khamis lalu.

Turut hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar.

Beberapa kerosakan yang telah berjaya dikenal pasti adalah komplikasi konfigurasi pemasangan pam yang menyebabkan keseluruhan sistem pam yang dipasang sebelum ini tidak berfungsi dengan sempurna serta beberapa infrastruktur pengairan termasuk sistem paip yang menghadapi kebocoran terutama paip bawah tanah.

Berikutan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang bertindak sebagai agensi pelaksana, akan membentuk semula blok pengairan daripada tiga blok kepada lapan blok untuk agihan air yang lebih berkesan.

Sementara itu, penambahan sebanyak 15 unit injap sluis bagi kawalan air dan 39 unit injap air bagi mengurangkan tekanan udara dalam paip.

Sebagai langkah tindakan jangka panjang, Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP) bersama JPS akan membentuk pasukan tindakan khas untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang berlaku setelah kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan selepas itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Urus Tadbir Kumpulan Pengguna Air Skim Pengairan Bukit Sena, Osman Cha berkata, langkah yang diambil kerajaan ini secara tidak langsung memberikan semangat baharu kepada petani untuk mengusahakan semula petak sawah mereka dengan lebih baik dan tersusun.

Skim Pengairan Bukit Sena dibina pada 2008 dengan kos RM26.7 juta bertujuan untuk memodenisasikan sistem pengairan dari Sungai Pedu untuk petani di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengusahakan sawah.

Ia melibatkan pembinaan sistem paip sepanjang 78km dan sebuah stesen pam yang mengandungi enam unit pam elektrik dengan keupayaan pengeluaran air pada kadar lapan kaki padu per saat untuk meningkatkan hasil padi daripada dua tan per hektar kepada enam tan per hektar. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com