Rengekan Manja Kekasih Bawa Padah


AKIBAT tidak dapat menahan rengekan manja kekasih menerusi panggilan telefon saban hari, lelaki warga asing sanggup menaiki bas dan menempuh perjalanan dari Johor Bahru ke Batu Pahat semata-mata bagi ‘mengubati’ rindu teman wanitanya itu.

Namun keghairahan mereka memadu asmara di hotel bajet di Batu Pahat, malam tadi terbantut apabila sekumpulan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menjalankan operasi cegah maksiat sempena Hari Kekasih.

Dalam serbuan kira-kira 10 malam itu, wanita warga Vietnam berusia 30 tahun berkenaan sanggup berlutut dan merayu supaya penguatkuasa JAINJ tidak mengambil tindakan ke atas mereka.

Wanita terbabit mengakui sudah berpacaran kira-kira setahun dengan teman lelaki warga negara Pakistan itu dan mereka seringkali bertemu apabila ada masa terluang.

Walau bagaimanapun teman lelakinya berusia 28 tahun dan bekerja di tapak pembinaan di Gelang Patah pada mulanya mendakwa baru sahaja mengenali wanita berkenaan yang bekerja sebagai tukang jahit di sebuah kilang pakaian di sini.

Dalam pada itu, Kadi Daerah Batu Pahat Muhammad Husni Tamrin Md Sharif berkata, wanita berkenaan yang bukan Islam dilepaskan manakala teman lelakinya yang beragama Islam ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana kesalahan berkhalwat.

“Enakmen itu memperuntukkan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com