Remaja Perempuan Tertelan Jarum Peniti Pada Hari Lahir


MARANG - Seorang pelajar perempuan di asrama sebuah sekolah di sini terpaksa menyambut hari lahirnya yang ke 14 di hospital gara-gara tertelan jarum peniti.

Dalam kejadian kira kira jam 2.00 petang itu, gadis itu tertelan salah satu dari dua batang jarum peniti yang hendak digunakan pada kain tudungnya secara tidak sengaja.

Ibunya, Noraslinda Ibrahim, 36, berkata, kejadian di asrama itu berlaku apabila anaknya meletakkan jarum peniti tersebut di mulut sambil bercakap ketika memakai tudung.

Susulan itu, katanya, anaknya, Norain Azira Azmi, 14, dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas rakan anaknya itu memberitahu guru di asrama berkenaan.

"Saya pula dimaklumkan mengenai perkara itu oleh guru terbabit selepas Norain Azira dikejarkan ke hospital. Kebetulan kejadian berlaku pada hari jadinya," katanya.

Bagaimanapun, ibu dua anak itu berkata, keadaan anak perempuannya kini stabil dan boleh bercakap serta menelan makanan tetapi jarum tersebut masih ada di dalam ususnya.

Noraslinda berkata, pihak hospital juga memaklumkan akan melakukan pemeriksaan susulan Rabu ini termasuk menjalankan pembedahan sekiranya jarum peniti dalam ususnya itu dapat diimbas.

“Kejadian ini kali pertama berlaku dan saya berharap jarum tersebut akan keluar,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana cepat membantu anaknya.

Sumber: Sinar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com