Remaja Lemas Semasa Berkelah Di Air Terjun Sedim


ALOR SETAR – Kegembiraan tiga sekawan berkelah di Air Terjun Hutan Lipur Bukit Jong, Lata Bukit Hijau, Sedim, Kulim, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.48 pagi, mangsa, Norsofea Mohd. Rosli, 17, dari Kampung Labu Besar di sini dikatakan mandi bersama rakan sebaya dan seorang adik angkat lelaki di kawasan cetek.

Namun begitu, remaja perempuan itu dikatakan mengubah tempat mandi ke kawasan yang agak dalam walau pun dilarang oleh dua rakannya kerana bimbangkan keselamatannya berikutan mangsa tidak pandai berenang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa dise­dari terkapai-kapai oleh dua rakannya sebelum mereka bertindak meminta bantuan pengunjung lain bagi menyelamatkannya.

“Namun disebabkan kawasan itu agak dalam, dua rakannya tidak mampu membantu dan mangsa kemudian hilang.

“Bagaimanapun, usaha ber­terusan pengunjung yang me­lancarkan gerakan mencari kemudian menemui mangsa lebih kurang 200 meter dari tempat dia tenggelam, tetapi disahkan meninggal dunia akibat lemas,” katanya di sini semalam.

Tambahnya lagi, mangsa yang tidak bekerja selepas habis belajar setahun lalu pergi ke air terjun itu bersama dua rakannya untuk berkelah sempena cuti hujung minggu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Hamizan Azwal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.51 pagi sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

“Sebaik sahaja sampai, mangsa berjaya dinaikkan oleh pe­ngunjung tetapi disahkan me­ninggal dunia oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Kulim.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar untuk bedah siasat di Hospital Kulim,” katanya memetik Utusan Online. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com