Ramai Yang Murung Ingin Bunuh Diri


DEPRESI, kemurungan dan perasaan ingin bunuh diri menyumbang kepada rekod tertinggi yang dicatatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The Befrienders apabila menerima 27,000 panggilan dan emel pada tahun lalu.

Pengerusinya, Justin Gerard Victor, berkata statistik terbabit amat membimbangkan berbanding rekod tahun lalu yang mencatatkan 25,000 panggilan dan emel.

“Peningkatan sebanyak 8 peratus membuatkan para sukarelawan melipatgandakan usaha bagi memastikan konflik pemanggil didengari dan diberikan perhatian sewajarnya.

“Kita ingin singkirkan stigma dan tanggapan negatif umum yang menjadi penghalang pesakit untuk mendapatkan pertolongan dan rawatan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri program bicara Penyakit Mental: Pembunuh Senyap sempena Sidang Kemuncak Aspirasi dan Kepemimpinan (NALS) 2018 di Pusat Dagangan Dunia Pura (PWTC), di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Dr Marhani Midin, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Nurashikin Ibrahim dan Presiden Medtweet.my, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan platform yang tersedia termasuklah jalinan kerjasama dengan KKM untuk meningkatkan kesedaran awam tentang penyakit mental.

“Sepanjang tahun lalu, lebih 50 bengkel dan program sudah dilaksanakan khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mendekati golongan belia.

“Kita bantu dan beri panduan supaya setiap individu dapat memainkan peranan untuk membantu ahli keluarga atau rakan-rakan yang cenderung mengalami kemurungan atau berkeinginan untuk membunuh diri,” katanya. 

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com