Ramai Penyokong Mukhriz Di Jerlun Kembali 'Berjinak' Dengan UMNO


ALOR SETAR - Kelibat Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak lagi kelihatan di  kawasan Dewan Undangan Negeri  Ayer Hitam dalam Parlimen Jerlun sejak kebelakangan ini.

Walhal penduduk Ayer Hitam itulah yang turut membantu Mukhriz menduduki kerusi Menteri Besar Kedah selepas pilihan raya umum ke-13 lalu.

Walaupun Mukhriz tidak kekal lama sebagai Menteri Besar, beliau sepatutnya berada bersama penduduk Ayer Hitam yang diwakilinya sekalipun berada di dalam kem pembangkang.

Kini aduan dan masalah rakyat di kawasan itu dipikul oleh pemangku Ketua UMNO bahagian Jerlun, Datuk Abu Hasan Sarif  yang juga ADUN Kota Seputeh dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz yang kini Timbalan Menteri Kewangan.

Jika anda berada di kawasan Jerlun, hanya kelihatan bendera Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berkibaran di sana sini.

Hakikatnya penyokong parti pimpinan Dr. Mahathir dan Mukhriz itu tidak ramai  seperti mana yang digambarkan sebelum ini.

Kegiatan politik PPBM juga semakin kurang walaupun PRU14 semakin dekat.

Berdasarkan maklumat, ramai penyokong PPBM dan Mukhriz kini  kembali berjinak-jinak dengan UMNO dan wakil rakyat BN di kawasan itu.

Walaupun tidak mengiystiharkan keluar daripada PPBM, penyokong parti berlambangkan bunga raya itu sudah tidak aktif lagi untuk menggerakkan program politik.

Antara sebabnya, program itu tidak lagi mendapat sambutan penduduk apabila ketuanya (Mukhriz) jarang pulang ke kawasan itu.

Dalam hal ini , desas desus bahawa Mukhriz tidak lagi akan bertanding di Ayer Hitam atau Parlimen Jerlun ada logiknya.

Baru-baru ini pula, Dr. Mahathir  tidak menolak kemungkinan Mukhriz yang juga Timbalan Presiden PPBM dan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah akan berhijrah ke Selangor atau pun kawasan lain dalam negeri Kedah.

Mukhriz sepatutnya diberi kawasan yang selamat oleh Pakatan Harapan kerana Ayer Hitam dan Jerlun kini bukan lagi kawasan mudah untuknya meraih undi apatah lagi bertnading atas tiket pembangkang.

Jerlun mempunyai ramai penyokong BN dan PAS berbanding  PPBM mahu pun PAN. - Kedahnews.com 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com