Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 Beri Manfaatkan Pada 400,000 Rakyat


ALOR SETAR - Program Umno Bantu Rakyat 2.0  anjuran Biro Kebajikan Umno Malaysia (BiKUM) telah menberi manfaat kepada kira-kira 400,000 penerima sejak ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei tahun lepas.

Pengerusi BiKUM, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, antara sumbangan yang dihulurkan adalah bentuk sumbangan pembukaan akaun simpanan Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia (SSP1M) secara percuma kepada murid sekolah, pemberian kit makanan dan perkhidmatan menyelenggarakan motosikal secara percuma.

“Kita mempelbagaikan bentuk sumbangan mengikut kesesuaian tempat dan keadaan… selain  daripada itu juga, kita harap sumbangan yang diberikan Umno membolehkan kegiatan parti di akar umbi bergerak.

“Dalam program ini, kita hendak tingkatkan kesedaran daripada rakyat supaya faham bahawa inilah parti yang membantu dan membela rakyat. Janganlah  pilih parti yang hanya mahukan kuasa dan kedudukan tetapi tidak ada agenda untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada  pemberita selepas program itu di Sik, kelmarin.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Sik merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, sejumlah 30,000 murid di seluruh negara telah terpilih untuk menikmati faedah sumbangan pembukaan akaun simpanan SSP1M secara percuma menerusi program berkenaan.

“Ini sebagai simbolik kepada usaha kita untuk membantu dalam bentuk jangka panjang. Kalau kita hendak mengubah kehidupan rakyat, kita harus berikan keutamaan kepada pendidikan...sebab itu, kita peruntukkan untuk 30,000 orang setakat ini,

“Tetapi kita akan tengok lagi selepas ini...sememangnya ada permintaan tinggi (bagi SSP1M) di beberapa tempat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Tajudin berkata, seramai 500 murid dari daerah Sik mendapat sumbangan akaun simpanan SSP1M secara percuma dengan keseluruhannya bernilai RM50,000 selain 1,000 kit makanan turut disediakan kepada penerima terpilih menerusi program berkenaan.

“Sumbangan lain seperti servis motosikal secara percuma akan dibuat pada tarikh lain dan kita juga akan fokus kepada golongan yang tidak bernasib baik,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com