PPBM Jadi Halangan Kepada PAN Untuk Terajui Kedah?


Hasrat Parti Amanah Negara (PAN) untuk bertanding di kerusi tradisi PAS dan menerajui negeri Kedah jika Pakatan Harapan menang pada PRU14 tidak mungkin kesampaian.

Halangan utama PAN di negeri jelapang padi  ini ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dikatakan mahu 'membolot' kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sudahlah PAN dapat kerusi parlimen yang paling sedikit di Semenanjung termasuk di Johor, parti pimpinan Mohamad Sabu itu juga seperti mahu 'diketepikan' oleh PPBM di Kedah.  

PAN perlu ingat, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Pengerusi Pakatan Harapan dan bakal Perdana Menteri sementara anaknya pula ialah bekas Menteri Besar yang kini pengerusi Pakatan negeri ini.

Oleh itu PAN tidak boleh 'melangkah' mereka atau memandai-mandai untuk bertanding di mana kawasan yang disukai.

Lagi pun Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih mendominasi kerusi DUN dan Parlimen dalam Pakatan Harapan Kedah setelah ketiadaan PAS dalam gagasan parti pembangkang itu.

PKR sebelum ini mahu bertanding 16 kerusi DUN daripada 36 kerusi DUN di Kedah sementara DAP pula mahu menambah dua kawasan lagi - Kulim dan Gurun. 

Perebutan kerusi antara parti dalam Pakatan Harapan yang berlaku di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dijangka 'menular' ke Kedah menjelang PRU14. 

Sementara Pakatan Harapan Kedah dipercayai gagal memutuskan pertindihan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen untuk Pilihan Raya Umum. ini.

Parti sekutu dalam PH di peringkat negeri gagal menemui kata sepakat dalam pertindihan empat kerusi DUN itu membuatkan keputusan terpaksa diserahkan kepada pucuk pimpinan pusat.

Empat kerusi DUN berkenaan ialah Guar Chempedak dan Pantai Merdeka yang dituntut bersama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) serta Gurun antara DAP dan PKR.

Turut mendapat perhatian adalah kerusi DUN di Kulim yang menjadi rebutan tiga parti komponen membabitkan DAP, PKR dan PPBM.

Pengerusi PAN negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, memberitahu BH mengesahkan pertindihan tuntutan kerusi terbabit dan kata putus mengenainya akan dilaksanakan pucuk pimpinan pusat dalam masa terdekat ini.

PH berhasrat bertanding di semua 36 kerusi DUN di Kedah dengan PPBM memperoleh kerusi paling banyak untuk ditandingi iaitu 13.

Berdasarkan maklumat, PKR pula dijangka bertanding di sembilan kerusi walaupun pada mulanya mahu 16 DUN, manakala DAP pula di dua kerusi.

PAN dilihat seolah-olah terpaksa beralah dengan PPBM apabila dijangka hanya bertanding di lapan kerusi DUN walaupun hasrat awal mereka ingin bertanding di semua 24 kerusi yang ditandingi PAS.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Ismail berkata, situasi itu berlaku disebabkan kehadiran PPBM menyebabkan mereka terpaksa beralah.

"Asasnya begitulah (nak bertanding di semua kerusi PAS) tetapi sebab PPBM ada, jadi tak dapat semualah tapi kalau PPBM tiada kita dapat semua," katanya.

Kehadiran PPBM kini menjadi masalah kepada PAN sementara PKR pula terpaksa berkorban kerusi tradisi mereka. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com