Porno Kanak-Kanak: PDRM Kerjasama Australia, UK


JOHOR BAHRU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa bekerjasama dengan polis Australia dan United Kingdom (UK) dalam mempelajari teknik-teknik baharu bagi mengekang kegiatan memuat naik dan memuat turun gambar dan visual pornografi kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa yang sama, turut memantau aktiviti memuat turun gambar pornografi kanak-kanak daripada internet.

“Memang sentiasa dipantau (pornografi kanak-kanak) terutama sekali apabila tahun lepas, seorang warga British didapati membuat penderaan seksual kanak-kanak dengan menggunakan Malaysia sebagai pusat untuk dia berbuat demikian.

“Jadi, kita telah menambah upaya usaha mengesan dan bekerjasama dengan polis Australia dan UK untuk mempelajari teknik-teknik terbaharu ataupun cara-cara baharu yang digunakan oleh mereka yang minat terhadap pornografi kanak-kanak supaya usaha mengesan dan menangkap mereka dapat dilakukan sekiranya cukup bukti,” katanya.

Nur Jazlan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Ulang Tahun ke-33 Pasar Tani Peringkat Negeri Johor dan Program Stok Bekalan Negara di Pasar Tani Perling Mall, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam yang menyatakan Malaysia mencatat bacaan alamat IP tertinggi di Asia Tenggara dalam memuat naik dan memuat turun gambar serta visual pornografi kanak-kanak.

Menurut laporan itu, jumlah kanak-kanak yang jatuh ke tangan penjenayah yang dikenali melalui dalam talian juga meningkat dengan pantas.

Nur Jazlan berkata, individu yang terbabit dengan kegiatan ini kebiasaannya berselindung di sebalik menggunakan identiti tanpa nama dan berada dalam jumlah yang kecil.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan berkata KDN sentiasa bekerjasama dengan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menjamin stok makanan negara. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com