Polis Nafi Lelong Kereta Di IPD Seberang Perai Utara


KEPALA BATAS – Polis Seberang Perai Utara (SPU) menafikan akan mengadakan lelongan 26 jenis kereta dan 15 motosikal pada 6 Feb ini yang senarainya sedang tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bagaimanapun Notis Jualan Lelong Kenderaan Tidak Dituntut yang bertarikh pada 6 Feb pukul 9.30 pagi dan bertempat di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah SPU adalah benar.

“Untuk makluman, lelongan pada tarikh tersebut hanyalah sebanyak 24 unit motosikal pelbagai jenis sahaja dan ia tidak seperti ditularkan yang menyenaraikan 26 jenis kereta dan 15 motosikal pelbagai jenis untuk lelongan,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, pihaknya tidak akan bertanggungjawab atas maklumat yang tidak sah tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah dalam serbuan berasingan di Tasek Gelugor dan Butterworth, dekat sini semalam.

Noorzainy berkata dalam serbuan pertama kira-kira pukul 12.30 tengah hari, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di rumahnya di Tasek Gelugor dan merampas dadah jenis heroin bernilai RM1,530.

Katanya susulan penahanan itu, polis menahan lelaki kedua berusia 37 tahun di Butterworth serta merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin, syabu dan ganja bernilai RM2,500.

“Dua lelaki yang tidak bekerja itu mendapatkan bekalan bahan terlarang berkenaan daripada sindiket pengedaran dadah sebelum membungkusnya semula dan menjualnya semula kepada penagih di sekitar daerah SPU sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

Beliau berkata dua lelaki yang positif dadah itu kini direman selama tujuh hari dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com