PKR Sudah Bertolak Ansur Dengan PAS Sejak Sekian Lama


ALOR SETAR - Timbalan Presiden PKR, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa beliau sudah sekian lama bersabar dengan kerenah PAS dan tidak akan berkompromi dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau hanya menunggu saat ketika mandat PRU ke-13 yang lalu tamat dan bersedia memerangi PAS pada PRU ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

"Saya telah lama bertolak ansur dengan mereka, dan saya telah cuba bersabar seboleh mungkin.

“Susulan perkembangan ini, kami jangkakan lebih banyak tiga penjuru (di Selangor) dan kami sedia untuk itu," katanya, memetik wawancara dengan Nanyang Siang Pau baru-baru ini.

Meskipun bakal menghadapi pilihan raya tanpa sokongan PAS, namun Azmin yakin bahawa gabungan bersama DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) akan mengekalkan kuasa di Selangor.

"Berdasarkan rekod dan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, kita akan dapat terus berkuasa di Selangor," kata Azmin, memetik dari sumber yang sama.

Azmin sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar Selangor hasil daripada cadangan PAS yang menamakan beliau untuk menjawat jawatan berkenaan selepas Sultan Selangor dikatakan menolak nama Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Pada Jun 2014, Adun (PKR) Kajang, Lee Chin Cheh sengaja meletak jawatan yang dimenanginya pada 2013 bagi memberi laluan kepada gerakan "Langkah Kajang" yang bertujuan menjadikan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor.

Walau bagaimanapun, gerakan yang diketuai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli itu gagal apabila Wan Azizah yang dicadangkan PKR dan DAP untuk menggantikan Khalid tidak mendapat perkenan Sultan Selangor.

PAS yang sejak dari awal lagi menentang keras Langkah Kajang telah menamakan Azmin sebagai Menteri Besar dan akhirnya mendapat perkenan baginda.

Ramai pengkritik politik sebelum ini mendakwa Azmin sebagai tidak mengenang jasa PAS yang mencadangkan nama beliau sebagai Menteri Besar, malah lebih menyebelahi DAP, PAN dan PPBM dalam banyak perkara. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com