PKR Punyai 'Kekuatan' Berbanding PPBM di Kelantan


Parti Keadilan Rakyat (PKR)  mendakwa parti itu diberikan kerusi oleh Pakatan Harapan di Negeri Kelantan berdasarkan kekuatan calon, kewangan dan jentera parti mereka.

Sehubungan itu Pengarah Komunikasi PKR negeri itu, Mohd Sukirman Mustafa menepis tuduhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Kota Bharu yang mendakwa Parti Amanah Negara (PN)  atau PKR mendominasi dalam agihan kerusi di negeri ini.

"Tidak timbul isu PPBM dipinggirkan dalam pengagihan kerusi di Kelantan," kata Mohd Sukirman bagi menafikan  wujud perebutan kerusi antara parti dalam pakatan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PKR terpilih untuk bertanding berdasarkan kriteria yang ditetapkan iaitu dari segi kekuatan calon, kewangan dan jenteranya, ujarnya lagi.

"Isu yang dibangkitkan oleh pemimpin PPBM Kota Bharu semalam adalah isu terpencil dan hanya mewakili beberapa individu saja," dakwa Mohd Sukirman.

"Mereka perlu faham, kerusi Parlimen diberikan kepada PPBM paling banyak iaitu tujuh kerusi berbanding PAN hanya dapat lima kerusi dan PKR dua kerusi, katanya kepada sebuah akhbar tempatan semalam.

Sayap kepemimpinan PPBM Kota Bharu pada sidang media kelmarin menyatakan mereka kini  hilang kepercayaan terhadap parti itu dan pakatan pembangkang mengenai cara pengagihan kerusi menjelang PRU14.

Naib Ketua PPBM Bahagian Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min jugat berpendapat parti itu sudah tiada masa depan dan tidak akan menang pada PRU-14 kerana pelbagai masalah yang dihadapi.

Mohd Nor Hashim mendakwa pakatan pembangkang hanya didominasi DAP dan  beliau meminta Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya melepaskan jawatan dan menyerahkannya kepada generasi  yang lebih muda.

Sukirman juga mendakwa  isu pembahagian kerusi Parlimen dan 35 kerusi DUN di Kelantan sudah selesai diagihkan.

"Hanya tinggal 10 kerusi DUN yang belum selesai lagi, " ujarnya.

Sementara itu Pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Noor memberitahu Antarapos,  pembahagian kerusi di negeri itu  banyak yang  belum selesai dan tidak perlu isu pengagihan kerusi dibangkitkan oleh PPBM Kota Bharu.

" Kita mahu selesai agihan kerusi menerusi perbincangan tertutup, bukan di pasar raya di mana semua orang boleh dengar, " katanya. - Kedahnews.com 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com