Piza Lebih Sihat Untuk Sarapan


NEW YORK – Makan seke­ping piza pada waktu pagi merupakan hidangan sarapan yang lebih sihat berbanding semang­kuk bijirin atau emping jagung bersalut gula.

Pakar pemakanan terkenal Ame­rika Syarikat (AS), Chelsey Amer berkata, sekeping piza boleh menjadi pilihan sarapan yang le­bih seimbang berbanding kebanyakan bijirin kerana mempunyai lebih banyak protein, bahan segar dan kandungan gula yang rendah.

Menurut portal Mail Online, Amer menegaskan, kebanyakan bijirin je­na­ma komersial didapati mempunyai kurang jumlah nutrisi dan tidak mengandungi protein yang cukup atau lemak yang sihat walaupun sudah menjadi rutin sarapan bagi majoriti masyarakat di AS.

“Anda mungkin terkejut apabila mengetahui bahawa sekeping piza dan semangkuk bijirin de­ngan susu mengandungi jumlah kalori yang hampir sama.

“Bagaimanapun, piza me­ngan­dungi jumlah protein yang jauh lebih tinggi dan akan membuatkan anda kenyang dalam tempoh lebih lama sepanjang waktu pagi,” katanya dalam blog The Daily Meal.

Seorang lagi pakar pemakanan, Tammy Lakota Shames menjelaskan, sekeping piza keju mengan­dungi 272 kalori, 12 gram protein, 10 gram lemak dan 4 gram gula serta semua jenis kumpulan makanan utama iaitu bijirin, buah, sayur dan daging.

Satu hidangan emping jagung bersalut gula pula hanya mengan­dungi 110 kalori dan 10 gram gula tetapi kajian pada 2014 oleh La­po­ran Pengguna mendapati kebanyakan orang makan sehingga 132 peratus lebih daripada satu hidangan tersebut.

“Bijirin bersalut gula boleh me­nyebabkan lonjakan paras gula da­lam darah, yang melepaskan insulin dan keadaan ini tidak baik untuk badan anda.

“Kalori itu akan bertambah de­ngan cepat dan anda mungkin akan lapar sebelum waktunya. Anda boleh mempunyai satu bahagian bijirin dan kemudian menambah 400 kalori lagi dalam diet harian anda,” katanya.

Shames berkata, orang ramai boleh memilih untuk membuat sendiri piza menggunakan kerak bijirin penuh yang ditabur dengan sayur-sayuran atau semangkuk bijirin gandum penuh mengandungi kurang daripada 3 gram gula sebagai sajian sarapan yang sihat.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com