Piala Sumbangsih Milik Kedah Lagi?


Juara Piala FA Kedah yakin mampu menjinakkan juara Piala Malaysia musim lepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan pembukaan Liga Super, sekaligus mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini,,  

Bagaimanapun Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah  mengingatkan pemain Lang Merah supaya bermain dengan semangat berpasukan bagi memastikan impian menjuarai Piala Sumbangsih dua tahun berturut-turut menjadi kenyataan.

“Kita turun (perlawanan pembuka tirai Liga Super 2018) dengan semangat juang yang cukup tinggi... insya-Allah. Mereka (pemain Lang Merah) pun yakin mampu mempertahan kejuaraan.

“Kita tahu JDT (pasukan) kuat tapi kalau semangat kita kuat, insya-Allah... tapi kena turun secara berpasukan,” katanya selepas Majlis Pecah tanah Projek Pembinaan Pusat Latihan Skuasy Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Setar hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan; Datuk Aminuddin Omar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.

Musim lepas, Kedah sekadar  muncul naib juara Piala Malaysia selepas tumpas kepada JDT dengan jaringan 2-0.  
  
Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata  kerajaan  berjanji akan membina sebuah stadium bola sepak baharu sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir Kedah dan negara pada pilihan raya akan datang.

“Itu yang kita rancang kerana stadium sedia ada sudah tidak cukup untuk menampung penyokong dan peminat bola sepak di negeri ini. Buatlah di mana-mana, mereka akan pergi ramai-ramai.

“Kalau bagi Stadium Shah Alam dekat penyokong Kedah, mereka boleh penuhkan stadium itu tanpa orang lain dalam jumlah begitu besar. Ini semangat penyokong-penyokong,” ujarnya. 

Stadium Darulaman kini tidak lagi dapat menampung lebih ramai penonton jika ada perlawanan menarik Liga Malaysia termasuk di peringkat suku dan separuh akhir .  -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com