Piala Sumbangsih: Ifwat Tumpu Kekuatan Mental Sebagai Persiapan Terakhir


ALOR SETAR - Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal kini menumpukan kekuatan mental sebagai persiapan terakhir menjelang aksi Piala Sumbangsih bertemu juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu ini.

Menurut pemenang kategori Penjaga Gol Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 itu, ketahanan mental antara faktor penting menentukan mutu serta tahap keyakinan terutama pada perlawanan tumpuan seperti ini.

"Penjaga gol harus memiliki kekuatan mental yang kuat bagi menghadapi segala tekanan bakal dihadapi dalam suasana permainan berintensiti tinggi.

"Saya akan cuba menggunakan segala pengalaman untuk mengatasi tekanan yang boleh melemahkan semangat saya dalam tugas diamanahkan jika tersenarai untuk beraksi.

"Dalam perlawanan peringkat antarabangsa, kami berhadapan tempo dan corak permainan laju seperti ketika menentang Iraq dalam Piala AFC B-23.

"Pengalaman ini akan saya gunakan untuk meningkatkan lagi mutu permainan terutama menghadapi Piala Sumbangsih di Stadium Larkin nanti," katanya memetik BH Online.

Tambah Ifwat, skuad Kedah tetap berwaspada namun yakin rakan sepasukan mampu memberi tentangan sengit walaupun menyedari JDT adalah pasukan pilihan di Larkin.

"Saya yakin dengan corak dan taktikal yang diperkemaskan jurulatih baru penjaga gawang, Megat Amir Faizal dan taktikal oleh Ramon Marcote, kami mampu memberi cabaran dalam misi membawa pulang Piala Sumbangsih ke Darul Aman," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com