PH Nak Tawan Kedah Hanya Satu Jenaka - Ahmad Bashah


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan dakwaan Pakatan Harapan (PH) mampu menawan empat negeri dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebagai satu jenaka.

Ahmad Bashah berkata beliau tertarik dengan kenyataan Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin itu sedangkan parti itu sendiri tidak mampu menyelesaikan masalah pengagihan kerusi dengan Parti Amanah Negara (PAN) di Selangor.

Menurutnya, perbalahan terbuka di antara PKR dan PAN di Selangor adalah contoh jelas yang semua tidak kena dalam kalangan parti komponen PH.

"Saya agak hairan bagaimana seorang pemimpin PKR melaungkan keyakinan PH akan menambah empat lagi negeri sedangkan ia masih bertelagah dengan PAN di Selangor.

"Mereka tidak mampu untuk bersetuju berhubung perkara asas seperti pembahagian kerusi, tetapi mereka masih cuba meyakinkan rakyat yang PH akan menang di sana sini," katanya kepada media selepas melancarkan Jelajah Muafakat Masyarakat Berkoperasi' di Masjid Aman di Jalan Kuala Kedah.

Ahmad Bashah mengulas dakwaan Shaharuddin yang PH mampu menang empat lagi negeri pada PRU-14, dengan merampas Kedah, Perak, Negeri Sembilan and Johor, berdasarkan keadaan semasa.

Shaharuddin membuat kenyataan itu pada sesi temubual Facebook live dengan sebuah akhbar semalam.

PH setakat ini memerintah dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor manakala bekas rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, PAS masih mengusai Kelantan.

"Ini hanyalah helah lama, apabila menghampiri pilihan raya umum, mereka akan membuat pelbagai dakwaan seperti akan membentuk kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang baru, semata-mata untuk menarik sokongan.

"Mereka telah melakukan begini dalam semua pilihan raya umum tetapi BN masih memerintah Kerajaan Persekutuan dan majoriti kerajaan negeri di bawah BN," ujarnya.

Bashah berkata tujuan Shaharuddin membuat kenyataan itu adalah untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu perbalahan dalaman melibatkan PKR dan PAN di Selangor.

"Adalah perkara biasa bagi mana-mana rakan politik untuk berselisih pendapat, tetapi dalam BN kita berjaya memelihara keharmonian antara komponen.

"Contohnya dalam BN, perselisihan itu sekadar 'kocakan air di dalam cawan' tetapi bagi PH, perbalahan mereka umpama gempa bumi yang menunggu masa untuk menyembah bumi," katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan pengerusi PAN Selangor Izham Hashim telah menegaskan kepada PKR negeri itu supaya patuh kepada arahan kepimpinan PH untuk menubuhkan jawatankuasa khas untuk membincangkan agihan kerusi kawasan dewan undangan negeri, di kalangan parti komponen.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menempelak PAN Selagor sebagai menipu dan tidak boleh dipercayai kerana didakwa cuba memutar belit isu pengagihan kerusi di negeri itu.

Hari ini, sayap Pemuda PAN membalas kenyataan Azmin kerana mengeruhkan hubungan di kalangan komponen PH Selangor.

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com