PFAM Kecam Perbuatan Tular Gaji Pemain Kedah


ALOR SETAR – Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang menularkan senarai gaji pemain skuad Liga Super Kedah bagi musim 2018.

Setiausaha PFAM, Ahmad Fauzi Saari berkata, isu berkaitan gaji para pemain adalah sesuatu yang sulit dan amat sensitif.

 Kebocoran maklumat yang berlaku itu merupakan pencabulan privasi terhadap pemain.

Menurutnya, tindakan itu dianggap sebagai sesuatu yang tidak profesional dan bertentangan dengan nilai integriti.


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pentadbir Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) selama ini mengamalkan prinsip profesionalisme dan tindakan itu amatlah memalukan.

“Ia boleh memberi ancaman keselamatan kepada pemain dan keluarga pemain. Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya maklumat yang dipaparkan itu adalah tidak benar, sekali gus memberi kesan negatif kepada pemain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, katanya, PFAM mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan untuk mengelak perkara sama berulang.

Senarai gaji pemain skuad Liga Super Kedah itu tular di laman Facebook sejak kelmarin. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com