Petani Kedah Perlu Bersama Kerajaan Tingkat Hasil Produktiviti


ALOR SETAR - Golongan petani khususnya pesawah di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di negeri Kedah digalakkan untuk bersama kerajaan dalam usaha meningkatkan hasil produktiviti masing-masing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, peladang, penternak dan nelayan termasuklah pesawah merupakan golongan terpenting dalam melestarikan jaminan bekalan makanan negera di masa hadapan.

“Walaupun terdapat pelbagai bantuan dan insentif disalurkan kerajaan dalam usaha meningkatkan produktiviti hasil pertanian, petani perlulah memahami objektiviti dan bertanggungjawab bersama menjayakan hasrat misi ditetapkan ke arah peningkatan produktiviti.

“Sekiranya, petani tidak berani untuk membetulkan kesilapan dalam bidang masing-masing ia akan memberi masalah dan kesan yang cukup besar pada masa akan datang. Terutamanya, hal membabitkan kemerosotan hasil pertanian disebabkan beberapa faktor tertentu,” katanya.

Beliau berkata pada majlis penyampaian bantuan wang ehsan Tabung Bencana Tanaman Padi kepada 773 peladang Mada, di sini, kelmarin.

Dalam program tersebut, Tajuddin turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,740,665.72 kepada peladang yang mengalami kerosakan tanaman padi akibat banjir yang berlaku pada pertengahan September dan Oktober tahun lalu.

Selain itu, bantuan alatan MY GAP kepada Projek My GAP Kampung Bonggol Basin bernilai RM32,330 turut disampaikan beliau sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban para petani.

Dalam perkembangan lain, difahamkan bahawa beberapa mega projek yang dimajukan bawah Mada dijangka akan meningkatkan lagi produktiviti pesawah untuk masa depan yang lebih baik.

“Setakat ini, hasil pengeluaran padi adalah 6.3 metrik tan per hektar, berbanding sasaran peringkat nasional sebanyak 10 metrik tan per hektar menjelang 2020.

“Sekarang dengan hasil pengeluaran 5 metrik tan per hektar boleh mendapat pendapatan hampir RM2,000. Jumlah ini akan bertambah menjadikan pendapatan pesawah dua kali ganda antara RM4,00 hingga RM5,000.

“Golongan petani dan pesawah juga perlu mahir menggunakan teknologi baru yang membantu golongan ini untuk lebih efisien dan mengurangkan kos pengurusan,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com