Perpecahan PPBM Peringkat Cawangan Semakin Parah


Semakin ramai ahli dan pemimpin bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM0 tampil untuk menyuarakan kekecewaan di atas kegagalan pucuk pimpinan parti menyelesaikan pergolakan di dalam parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad kebelakangan ini.

Selepas PPBM Kota Bharu, Kelantan, kini ahli PPBM Bahagian Telok Kemang pula kecewa dengan kegagalan pimpinan pusat  parti itu untuk menangani isu perpecahan  di peringkat akar umbi.

Bekas Timbalan Ketua Srikandi bahagian itu, Zaliha Mohamad Zakaria berkata, walaupun isu itu pernah dibangkitkan kepada pemimpin parti berkenaan, ia tidak diambil peduli dan tiada usaha untuk menyelesaikannya.

"Tidak ada sikap kerjasama antara Srikandi di peringkat bahagian dengan ketua yang dilantik oleh pucuk pimpinan dan ini berlaku di kebanyakan negeri. Pergolakan ini bukan perkara baharu malah telah wujud sejak awal penubuhan parti," katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Zaliha yang mengetuai kumpulan 20 orang itu berkata isu-isu yang membelenggu parti itu menyebabkan sesama ahli sukar untuk bekerjasama.

Beliau menjelaskan, di Telok Kemang sendiri wujud perpecahan serius kerana terdapat dua kem Srikandi sehinggakan ahli yang bersama sejak awal penubuhan parti itu diketepikan begitu sahaja.

"Srikandi yang lama disingkirkan, sehinggakan kami tidak tahu aktiviti yang diadakan parti. Ada pihak yang mahu ambil (bolot) semua dalam bahagian ini," dakwanya lagi.

Sebelum ini Dr. Mahathir menyifatkan ahli yang keluar parti sebagai 'sampah' dan semalam pula  Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Nor melabelkan  anggota yang mengkritik parti dan pucuk pimpinan tanpa menggunakan saluran yang betul sebagai anasir subversif yang mahu melemahkan parti. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com