PERHILITAN Buat Tangkapan Di 3 Negeri Termasuk Kedah


KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) melakukan tiga tangkapan membabitkan kesalahan berkaitan hidupan liar di tiga negeri, Ahad dan Isnin.

Tangkapan berkenaan dibuat dalam operasi dijalankan di Negeri Sembilan, Kedah dan Pahang.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, dalam satu kenyataan semalam.

Di Negeri Sembilan, PERHILITAN negeri semalam menyerbu sebuah kediaman di Jalan Tampin Dioh, Kuala Pilah, dan menemui bangkai haiwan liar disyaki seekor lotong dan dua ekor kera.

Yang turut dijumpai ialah dua bungkusan disyaki daging babi hutan.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki ditangkap atas kesalahan tidak mempunyai lesen sah daripada PERHILITAN bagi pemilikan dan penyimpanan hidupan liar terbabit.

Kesemua hidupan liar disita untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 710).

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Di Kedah, PERHILITAN negeri menemui seekor haiwan disyaki kucing batu dikurung di dalam sangkar dalam satu serbuan di sebuah kediaman dekat Lubuk Merbau, Pendang, kelmarin.

Berikutan itu, seorang lelaki ditangkap kerana tidak mempunyai permit khas bagi memiliki atau menyimpan hidupan liar berkenaan.

Kes disiasat bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Di Pahang, PERHILITAN negeri kelmarin menangkap sepasang warga Indonesia atas kesalahan memiliki atau menyimpan hidupan liar, iaitu 29 ekor disyaki karkas ayam hutan yang dilapah dan seekor ayam hutan jantan hidup, di sebuah kediaman dekat Kampung Karak Setia, Karak.

Kesemua hidupan liar dan peralatan perburuan disita serta dibawa ke pejabat PERHILITAN untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Abdul Kadir dalam kenyataan itu berkata, masyarakat perlu menjalankan aktiviti memburu hidupan liar secara sah dan mematuhi undang-undang.

"Pemburuan hidupan liar dibenarkan, namun secara terkawal melalui pengeluaran lesen oleh PERHILITAN.

"Tindakan penguatkuasaan tegas seperti menyita kenderaan dan senjata api akan turut diambil terhadap mana-mana individu yang memburu secara haram.

"Kita berharap orang ramai akan terus memberi sokongan dan membantu dengan cara menjadi mata serta telinga PERHILITAN melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan," katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline PERHILITAN melalui talian 1-800-88-5151 atau e-aduan menerusi laman web jabatan: www.wildlife.gov.my.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com