Penyokong Kedah Resah Prestasi Pallares


ALOR SETAR - Bekas pengendali Kedah, Azraai Khor Abdullah berharap pemain import, Pablo Pallares dapat meningkatkan ketajamannya andai ingin mendapat sokongan peminat skuad Helang Merah selepas aksi kurang menyengat pada aksi awal.

Katanya, tempoh sehingga Jun ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh bekas pemain kelab Sociedad Deportiva Ponferradina, Sepanyol itu untuk membuktikan permainannya.

"Sekiranya Pallares masih tidak dapat menunjukkan ketajaman seperti diharapkan maka Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) harus membuat keputusan sewajarnya termasuk mencari pengganti baru.

"Namun kita juga perlu beri masa kepada Pallares yang sudah mengikat kontrak bersama Kedah.

"Ini kerana kita tahu pengendali Kedah, Ramon Marcote sudah memaklumkan sejak ketibaan Pallares, pemain itu bakal menyerlah jika diberi masa menyesuaikan diri," katanya mengulas prestasi pemain import Kedah itu.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) Safarizal Mohd Sobri, berkata mereka turut meluahkan kegusaran terhadap prestasi semasa Pallares kerana dia belum menampakkan ketajaman sebagai penyerang yang diharapkan.

"Sejak mula beraksi dalam perlawanan persahabatan pada 8 Januari lalu, diikuti tiga perlawanan dalam liga, kami tetap sabar menunggu peningkatan yang sepatutnya ditunjukkan oleh penyerang dari Sepanyol ini.

"Namun sehingga kini, kami terus dilanda kegusaran melihat tiada bukti aksi ketajaman beliau sebagai penyerang yang diharapkan. Setakat ini dia hanya menghasilkan satu gol pada perlawanan pertama.

"Melihat kepada keadaan terkini, kami kurang yakin dengan prestasi yang ditunjukkan. Jika kita lihat pada rekodnya bersama kelab terdahulu, Ponferradina dengan dua gol dari 28 penampilan jelas beliau tidak datang dengan reputasi yang membanggakan," katanya memetik BH Online.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com