Penumpang Belanja RM1 Bilion Di Lapangan Terbang MAHB


SEPANG - Jumlah transaksi perbelanjaan di lapangan terbang yang diuruskan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di seluruh negara meningkat kepada RM1 bilion tahun lalu.

Perbelanjaan itu terutamanya bagi pembelian pakaian, fesyen serta makanan.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, ada premis peruncitan di lapangan terbang berkenaan turut mencatat kenaikan jualan sebanyak 24 peratus pada tahun lepas berbanding tempoh sebelumnya.

"Walaupun premis itu dan bukannya MAHB mencatat jualan RM1 bilion, kami sebaliknya mendapat manfaatnya menerusi bayaran sewa. Oleh itu, ia membawa kebaikan kepada MAHB apabila premis berkenaan mencatat jualan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan produk beridentitikan Pulau Pinang dikenali Seri Pinang di cawangan Agrobazaar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, semalam.

Laporan sebelum ini menyatakan jumlah penumpang di 39 lapangan terbang kendalian MAHB di seluruh negara mencecah 96.54 juta orang pada 2017 berbanding 88.98 juta orang pada 2016.

Daripada jumlah itu, seramai 49.4 juta orang adalah penumpang antarabangsa manakala penumpang domestik sebanyak 47.14 juta orang.

Badlisham berkata MAHB akan meneruskan usahanya bagi mempromosikan pelbagai acara serta makanan Malaysia menerusi kerjasama dengan beberapa entiti bagi kemudahan penumpang berbelanja.

Mengulas jumlah penumpang bersempena sambutan Tahun Baru Cina dua minggu lagi, Badlisham berkata ia dijangka meningkat tiga kali ganda berbanding anggaran 50,000 orang sehari di klia2 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini.

"Peningkatan jumlah itu dijangkakan bagi penumpang yang tiba dan berlepas," katanya.

Badlisham berkata MAHB juga akan memulakan sistem bagi penumpang meletakkan sendiri bagasi masing-masing pada minggu depan bagi mengurangkan tempoh menunggu dan barisan panjang. --BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com