Peniaga Sik Muak Terpaksa Berniaga Dalam Timbunan Sampah


SIK - Peniaga pasar sehari yang beroperasi setiap Selasa mendakwa terpaksa menjalankan perniagaan dengan dikelilingi timbunan sampah sejak setahun lalu.

Mereka mendakwa, tapak perniagaan juga digenangi air setiap kali hujan lebat akibat permukaan jalan berlubang.

Peniaga makanan, Surani Husin, 39, berkata, sampah ditinggalkan peniaga pasar malam yang beroperasi pada malam Isnin menimbulkan masalah kepada peniaga lain pada keesokan harinya.

“Nak berniaga pun tak seronok sebab sampah banyak, air pula bertakung kalau hujan. Dah lebih setahun masalah ni tak diselesaikan.

“Kami dah tak ada pilihan melainkan berniaga juga dalam takungan air. Sampah pun kami terpaksa buang dulu sebelum mula berniaga,” katanya ketika ditemui di pasar sehari di Pekan Sik, semalam.

Menurut peniaga cincin, Rosli Ahmad, 50, dua masalah itu menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan pengunjung.

“Pembeli pun susah nak berurus niaga dalam keadaan becak dan air bertakung.

“Kalau hujan lebat lagi bermasalah, air kadang-kadang lebih dari paras buku lali. Sampah yang tak dikutip pula keluarkan bau busuk,” katanya.

Bagi peniaga apam balik, Mohd Rafaie Abdul Ghani berkata, peniaga terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menampung tapak perniagaan yang becak.

“Duit sewa tapak tiap-tiap minggu kami bayar. Bila kami suruh pihak pengurusan tampung dengan batu, depa buat tak tau saja. Bila tak ada tindakan, kami terpaksa keluarkan duit sendiri,” katanya.

Masalah itu turut mendapat perhatian Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Daerah Sik.

AJK Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Daerah Sik, Zawati Shariff berkata, Koperasi Serbaguna Daerah Sik Berhad yang bertanggungjawab menguruskan pasar tersebut dituntut menyelesaikan segera masalah dihadapi peniaga di situ.

“Persatuan dipersalahkan pihak lain kerana disangka bertanggungjawab terhadap pasar ini, sedangkan sebenarnya diuruskan pihak koperasi,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Koperasi Serbaguna Daerah Sik Berhad, Sabri Ibrahim berkata, pembuangan sampah dikendalikan Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal, E-Idaman Sdn Bhd dengan bayaran RM1,000 sebulan.

“Sampah di situ diuruskan Syarikat E-Idaman, tapi pasar bermula petang Isnin dan tamat sekitar 10 atau 12 malam. Mana mungkin depa nak kutip sampah?

“Jadi sampah dikutip pada sebelah petang Selasa sebab sebelah pagi ada pasar sehari. Bukan sampah dibiarkan berhari-hari di situ,” katanya.

Mengulas aduan tersebut, Sabri berkata, koperasi turut memberi perhatian kepada masalah itu dengan menimbunkan batu kasaran.

“Untuk masalah becak, kita tak boleh guna duit berterusan ikut aduan kerana koperasi menggunakan duit secara berhemah. Setahun dua kali kita akan letak batu kasaran di kawasan becak.

“Tahun ni pun kita akan letak batu kasaran ikut kemampuan. Siapa tak mahu tempat elok? Masalah itu akan diatasi segera,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com