Peniaga Di Guar Cempedak Rugi Cermin Kereta Dipecah


ALOR SETAR - Seorang peniaga terpaksa berputih mata selain menanggung kerugian akibat daripada cermin kereta jenis Mitsubishi Triton miliknya dipecahkan pada Sabtu lalu.

Mangsa, Mohd Ikhwan Rahman Mansor, 26, mendakwa dia terpaksa menghabiskan sejumlah RM800 bagi memperbaiki keretanya dan memasang cermin kereta baharu.

"Saya tak sangka kejadian sebegini boleh menimpa saya, sebelum ni dengar cerita orang saja," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku dia parkir di tepi jalan sekitar kawasan dewan serbaguna Guar Chempedak untuk menghadiri kenduri di dewan berkenaan.

"Saya tinggal kereta tak sampai sejam, dalam pukul 2.30 petang saya 'parking' mai balik dekat kereta pukul 3.15 petang, cepat betul depa buat kerja," katanya.

Ikhwan berkata, di dalam kereta berkenaan terdapat beg tangan kosong dan kemungkinan ia punca cermin keretanya dipecah.

"Mungkin depa ingat ada duit dalam tu padahal beg kosong, jadi saya nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati agar tidak mengalami nasib yang sama macam saya," katanya.

Dia berkata, selain beg kosong berkenaan, sebuah bantal turut diambil oleh pencuri setelah berjaya memecahkan cermin keretanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritenden Muhammad Halim Yatim mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes berkenaan.

"Orang awam sekitar daerah ini disarankan agar tidak meninggalkan sebarang beg di dalam kenderaan mereka," katanya.

Beliau berkata, walaupun beg berkenaan tidak mempunyai barang berharga, namun begitu peratus untuk berlaku kes pecah kereta sangat tinggi setelah penjahat melihat kesempatan yang terhidang tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com