Pengemis Di Yan Peroleh Lebih RM300 Semalam


YAN - Dengan bermodalkan RM60 untuk bayaran tambang kereta sewa, sepasang suami isteri berjaya memperoleh hasil kutipan derma sebanyak RM306.50 di Pasar malam Sungai Yan, kelmarin.

Pasangan yang datang dari Pendang ini hanya perlu menunggu untuk tempoh beberapa jam sahaja bagi mendapatkan jumlah tersebut.

Si suami yang berumur 72 dan isterinya 57 tahun berjaya diselamatkan sepasukan anggota penguatkuasa dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membuat operasi di kawasan berkenaan.


Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Daerah Yan, Norashikin Idris berkata, pihaknya turut menyelamatkan seorang lelaki dari Kuala Nerang berusia 57 tahun.

"Ketika diselamatkan, wang kutipan beliau adalah sebanyak RM136.60," katanya.

Katanya, kesemua mereka pernah diselamatkan ketika operasi di daerah Sik dan Kubang Pasu.

"Namun disebabkan tidak serik, mereka masih melakukan rutin mengemis dengan alasan duit tidak mencukupi sedangkan mereka adalah penerima bantuan JKM," katanya.

Norashikin berkata, operasi yang tamat pada jam 10.45 malam itu turut dijalankan di sekitar kawasan bank-bank berhampiran.

"Ketiga-tiga mereka yang diselamat dan dilepaskan dengan amaran serta dinasihatkan agar tidak mengemis lagi," katanya.

Turut serta di dalam operasi berkenaan ialah Jabatan Imigresen Kedah, Pejabat Agama daerah Yan, Pejabat Pendaftaran daerah Yan dan Ibu Pejabat Polis daerah Yan.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com