Pengawal Didakwa Khianat, Cederakan Rakan Sekerja


KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan melakukan khianat dan mendatangkan kecederaan dengan menampar muka rakan sekerjanya, bulan lepas.

Fazil Ramli, 31, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat terhadap Janwira Zainuddin, 23, dengan membaling sudu makan yang menyebabkan skrin telefon bimbit mangsa pecah dan menghempas topi keledar hingga pecah cermin penutup muka.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di JPS Benteng B10, Jalan 1/40, Taman Pusat Kepong di sini pada 8.30 pagi, 23 Jan lepas, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fazil turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Janwira dengan menampar muka mangsa sebanyak dua kali di tempat, masa dan tarikh sama,

Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin tidak menawarkan jaminan bagi pertuduhan pertama bagaimanapun bagi pertuduhan kedua RM3,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com