Penduduk Kampung Gunung Bongsu Mohon Ganti Pembetung Baharu


KULIM - Saiz pembetung yang kecil menimbulkan masalah kepada penduduk Kampung Gunung Bongsu, di sini yang terpaksa berdepan masalah banjir.

Penduduk turut menggesa kerajaan menggantikan pembetung yang baharu untuk mengelakkan kejadian banjir kilat berkenaan.

Mangsa banjir, Azmi Abu Hassan, 60, berkata, rumahnya telah dua kali dimasuki banjir apabila hujan lebat berlaku awal tahun ini.

“Hujan tak dan (tak sampai) dua jam ayaq (air) sudah naik. Kalau dulu ayaq saja, la ni (sekarang) dengan lumpur.

“Baru lepas cuci rumah, kena cuci balik, barang yang kena banjir tak dan kering elok, ini kena lagi. Mana tahan macam ini,” katanya.

Katanya, masalah banjir kilat yang kerap berlaku ini memberi tekanan kepada penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah.

“Tak tahu lagi nak buat macam mana. Nak pindah ke tempat lain, ini sajalah harta yang ada, tanah sendiri, terpaksa duduk jugalah,” katanya.

Selain itu, bagi Nur Emylia Ismail, 30, pihak terlibat perlu segera mengambil tindakan kerana masalah ini sudah lama menghantui penduduk di sini.

“Sudah lama kami sabar, setiap kali hujan mesti cemas. Harta benda tak tahu sudah banyak mana rosak. Makin lama makin teruk.

“Pihak berkenaan kena CEPAT ambil tindakan. Kami orang kampung dah tak dapat nak bersabar lagi,” katanya.

Aliran air tak lancar

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gunung Bongsu, Ismail Osman berkata, pihak berkenaan perlu segera menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, masalah itu hanya berpunca daripada pembetung yang berperanan mengalirkan air dengan lancar terutama ketika hujan lebat melanda.

“Pembetung yang ada di sini terlalu kecil dan tak mampu lagi menampung aliran air yang begitu banyak ketika hujan lebat dalam tempoh lama.

“Jadi air sungai akan melimpah naik ke tebing yang lebih rendah dan menyebabkan kawasan rumah berdekatan ditenggelami air tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak terlibat namun keadaan masih tidak berubah dan penduduk saban tahun terpaksa menanggung kerugian sehingga menjadi semakin trauma.

“Aduan sudah banyak kami buat, JPS ada mendalamkan sungai tapi masalah tak selesai juga kerana pembetung saliran kecil.

“Habis sampai bila kami nak terus hadapi masalah ini, baru beli perabot baru sudah rosak. Kalau tak dapat jambatan besar pun tukar pembetung yang saiz lebih besar pada sekarang pun kami dah bersyukur,” katanya.

JPS lebarkan sungai

Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim-Bandar Baharu, Mohd Idrus Amir berkata, pihak JPS pernah melaksanakan kerja mengorek sungai tersebut pada 2016 dan 2017.

“Namun masalah banjir kilat tetap juga berlaku kerana masalah jambatan pembetung jalan JKR terlalu kecil dan lantai dasar yang tinggi.

“Apa yang kita rasa terbaik adalah pihak JKR membina jambatan (pembetung) melengkung bagi pengairan yang lebih lancar,” katanya.

Menurutnya, setakat ini pihak JPS hanya boleh melebarkan sungai bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut namun itu bukan penyelesaian jangka panjang.

“Kita telah sedia maklum masalah ini yang berlaku sejak beberapa tahun lalu dan semakin teruk sejak 2016 dan telah ambil tindakan.

“Jadi kita harap, bajet yang sudah diperuntukkan bagi 2018 dan kerjasama dari JKR akan menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Pada tahun lalu, akhbar melaporkan penduduk trauma dengan banjir kilat yang kerap berlaku di situ dan mahukan pembetung itu segera ditukar.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com