Penduduk Filipina Bantah Tamatkan Perkhidmatan Jeepney


MANILA - Jeepney atau jip yang diubah suai menjadi teksi adalah pengangkutan awam utama di Filipina tetapi kerajaan merancang menamatkan era ‘Raja Jalan Raya’ itu.

Kerajaan merancang memodenkan pengangkutan awam negara yang usang bagi menjadikan ia lebih selamat dan mesra alam sekali gus menamatkan perkhidmatan yang paling dipercayai dan murah itu.

Bagaimanapun, operator dan pemandu kira-kira 200,000 Jeepney yang menguasai jalan raya di Filipina selepas berdekad-dekad membantah langkah itu yang dianggap mereka mengancam golongan miskin dan kehidupan mereka.

“Ia memberi kesan besar kepada orang miskin seperti kami kerana kami yang bakal menderita,” kata seorang pemandu jeepney yang kecewa selepas kenderaannya disaman polis kerana mengeluarkan asap hitam.

Jeepney berkembang daripada lebihan jip yang ditinggalkan tentera Amerika Syarikat selepas Perang Dunia Kedua menjadi kenderaan berwarna-warni yang menarik.

Setiap perjalanan sejauh empat kilometer di Manila hanya dikenakan bayaran 8 peso (RM0.60) tetapi walaupun murah perjalanannya sangat tidak selesa.

Seramai 10 hingga 16 penumpang biasanya disumbat di dalam sebuah jeepney yang sempit, tiada penyaman udara dan tingkap bagi melindungi penumpang daripada panas, hujan atau asap.- Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com