Penagih Tempang Antara Dicekup Di Pendang


ALOR SETAR - Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tempang kaki kiri kerana terlibat dalam nahas jalan raya, antara 20 individu yang dicekup kerana disyaki penagih dadah di Kampung Paya Kerchut, di sini, kelmarin.

Didalam Ops Sarang di sebuah kebun kelapa sawit di kampung tersebut lelaki berusia 48 tahun itu mengaku membeli dadah akibat ketagihan dengan menggunakan sebahagian wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya sudah banyak keluar pusat pemulihan kerana terbabit dengan dadah. Saya selalu datang ke sini menunggang motosikal untuk beli dadah disebabkan ketagih," katanya memetik BH Online.

Ops Sarang membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah, Balai Polis Pendang dan Balai Polis Bukit Jenun.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata selain itu 20 penagih berusia 19 tahun hingga 56 tahun ditahan dalam operasi bermula jam 2.30 petang hingga 6 petang kelmarin.

"Lokasi itu pernah diserbu tetapi penagih dadah di kawasan terbabit dikatakan sering berpindah tempat dalam kawasan kebun kelapa sawit itu untuk mengaburi pihak berkuasa," ujarnya.

Jelas Fadzil, penahanan seorang lelaki berumur 20-an turut membawa kepada penemuan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Alor Setar, awal tahun lalu.

"Lelaki berkenaan mendakwa tidak mengetahui pemilik motosikal itu, dan dia menunggangnya untuk melarikan diri dari ditahan pihak berkuasa.

"Hasil siasatan polis mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Alor Setar pada Januari tahun lalu dan nombor pendaftarannya sudah ditukar untuk mengelak dikesan pihak berkuasa," jelasnya.- Kedahnews.dom

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com