Pelancong Malaysia Di Hospital Thailand Perlu RM70,000


JERANTUT - Keluarga seorang lelaki yang kini dirawat disebuah hospital di Phuket Thailand akibat paru-paru dijangkiti kuman mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatannya yang dianggarkan mencecah RM70,000.

Mohd Nazmi Ahmad Zubaidi, 30, dari  Kampung Seri Muda, di sini, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Vachiraphuket, Phuket, sejak Jumaat minggu lalu setelah disahkan dijangkiti kuman Burkholderia Pseudomallei.

Adiknya, Mohd Nazrin Ahmad Zubaidi, 29, berkata, abangnya melancong ke Thailand pada 24 Januari lalu bersama tiga rakan.

Menurutnya, Jumaat lalu, mereka  menerima panggilan dari salah seorang rakan abangnya itu memaklumkan Mohd Nazmi  dimasukkan ke hospital.

"Menurut rakan abang, doktor memaklumkan paru-parunya dijangkiti kuman  dan kini bergantung sepenuhnya kepada  alat bantuan pernafasan. Dalam masa sama, dia juga didapati menghidap penyakit kencing manis," katanya.

Mohd Nazrin berkata, menurut doktor, abangnya belum boleh dibawa pulang ke tanah air kerana bimbang kesihatannya semakin terjejas.

"Doktor kata, risiko untuk bawa abang pulang tinggi jadi dia perlu terus menerima rawatan di hospital itu  dua atau tiga hari lagi bagi memantau keadaannya. Itupun doktor beritahu, jika hendak bawa pulang kena guna ambulans udara yang semestinya menelan kos yang lagi tinggi.

"Saya juga dimaklumkan sehingga semalam, anggaran kos rawatan abang kira-kira  RM40,000 dan boleh mencecah sehingga  RM100,000, namun saya harap ia tidaklah sebanyak itu," katanya.

Katanya, kelmarin, salah seorang adiknya ke Thailand untuk melihat abang mereka itu berbekalkan wang RM11,000 yang dikumpul hasil sumbangan keluarga.

Mereka sekeluarga kini sedang berusaha sedaya mungkin bagi memastikan kesihatan Mohd Nazmi bertambah baik sekali gus membolehkannya di bawa pulang untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.

"Hari ini (kelmarin) doktor beritahu kadar bacaan penyakit kencing manisnya semakin menurun. Kami di sini akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kesihatan abang semakin baik," katanya.

Baru-baru  ini juga, satu catatan berkaitan permohonan bantuan kewangan bagi membantu menyara kos rawatan Mohd Nazmi juga telah mula tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Mohd Nazrin berkata, catatan itu disebarkan oleh salah seorang adiknya dengan harapan agar ada pihak yang sudi membantu bagi meringankan beban mereka sekeluarga dalam menyara kos rawatan Mohd Nazmi.

"Sejak tersebarnya berita ini, pelbagai pihak telah menghubungi saya untuk membantu kami dan kami amat berterima kasih atau keprihatinan mereka sama ada individu  ataupun badan bukan kerajaan," katanya.

Mohd Nazrin berkata, Mohd Nazmi, anak sulung dari lapan beradik itu bertugas di sebuah syarikat menjual kenderaan di Jerantut dan masih bujang.

Mohd Nazmi  merupakan harapan keluarga untuk menjaga ayahnya, Ahmad Zubaidi Satar, 57, yang sudah tidak bekerja dan menghidap pelbagai jenis penyakit.

"Dua adik beradik termasuk saya sudah berkahwin, dua beradik bekerja di luar (negeri lain), seorang baru tamat belajar dan dua lagi masih bersekolah. Abang saya inilah yang menjadi harapan menjaga ayah dan menguruskan pelbagai urusan keluarga," katanya yang merupakan kakitangan kerajaan yang kini menetap di Johor.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga terbabit boleh menyalurkannya ke akan Bank Rakyat Mohd Nazrin bernombor 220251404413 atau menghubunginya di talian 011-27340075.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com