PAS Ketandusan Calon, Bawa 'Pemain' Pahang Tanding Di Kelantan - PAN


Parti Amanah Negara (PAN) memulangkan 'paku buah keras' kepada PAS apabila menyifatkan parti itu  ketandusan pemimpin tempatan yang berwibawa hingga  memutuskan untuk membawa calon 'import' untuk bertanding di negeri Kelantan.
.
Pengerusi PAN negeri, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah, jika khabar angin kononnya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di Kelantan terbukti benar, perkara itu adalah sesuatu yang malang bagi PAS Pahang.

Lebih malang katanya, Tuan Ibrahim boleh dianggap bukan seorang pejuang kerana meninggalkan tempat asal dan memilih kawasan selamat seperti Kelantan untuk bertanding.

"Dia kata nak pertahan Kelantan, habis Pahang macam mana nak menang? Kalau betul PAS  Kelantan bawa masuk beliau, adalah malang sekali 'pemain utama' Pahang pergi cari tempat selamat dan bertanding di Kelantan.

"Bagi saya sekarang bukan masa bawa masuk pemain import. Agaknya PAS Kelantan sekarang sudah tidak ada pakar politik," katanya dalam sidang akhbar di pejabat PAN kawasan Kota Bharu semalam.

Walaupun Pas Kelantan masih belum mendedahkan calon yang akan bertanding di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke134 (PRU-14), timbul khabar angin kononnya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi baru-baru ini memberitahu beberapa nama pemimpin luar dalam senarai calon yang akan mewakili PAS Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kata beliau cadangan nama pemimpin luar itu hanya melibatkan kerusi Parlimen sahaja dan tidak melibatkan DUN.

 "Ada beberapa (nama yang akan dicalonkan) untuk kerusi Parlimen," katanya pada sidang media di Kota Bharu.

 Sebelum ini senarai nama yang dikatakan calon-calon PAS Kelantan termasuk di kawasan Parlimen, tular di media sosial. 

 Antaranya Tuan Ibrahimyang dikatakan bakal bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

 Selain itu, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dikatakan akan bertanding di Parlimen Bachok, manakala Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh bakal ditempatkan di Parlimen Pasir Puteh.

Bagaimanapun Che Abdullah menegaskan, senarai yang tular itu hanya tekaan rambang pihak-pihak tertentu bagi menghangatkan suasana menjelang pilihan raya.

ADUN Wakaf Bharu itu berkata, perkara itu belum muktamad dan senarai calon PAS Kelantan masih di peringkat saringan.

 "Setiap kerusi DUN dan parlimen setakat kita senaraikan lima calon," katanya. 

Selain di Kelantan, 'senarai nama calon Barisan Nasional' juga tular di Kedah tetapi dinafikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah yang menyifatkan ia sebagai perkara biasa dan tidak perlu diberi perhatian kerana ia berlaku menjelang tiap kali pilihan raya umum.

Sementara itu, bagi DAP dan PKR, calon mereka boleh berpindah -randah setiap kali PRU seperti Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.  .

Kelantan juga pada masa lalu menerima calon Parlimen daripada luar termasuk Presiden PAN, Mohamad Sabu dan beberapa nama besar yang lain untuk bertanding di neger itu . - Kedahnews.com. 


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com