Paras Air 3 Empangan Kedah Paras Terkawal, Cukup Untuk Pertanian


ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendedahkan paras air di tiga empangan di Kedah masih berada pada paras yang terkawal dan mencukupi untuk tujuan kegunaan domestik, industri dan pertanian.

Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, meskipun pada waktu ini Kedah sedang menghadapi musim kemarau, namun takungan air di Empangan Pedu, Ahning dan Muda berada pada paras 100 peratus.

"Malah dua minggu lalu, terdapat laporan mengatakan paras air mencecah 104 peratus sehingga berlaku limpahan sebanyak empat peratus yang mengalir ke sungai dan laut,"katanya.

Jelasnya pada media selepas Majlis Pengisytiharan dan Penyerahan Watikah JPP Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman 2018 di sini, kelmarin.

Sehubungan itu, petani di negeri ini tidak perlu khuatir kerana dijangkakan penanaman padi musim pertama dan kedua pada tahun ini akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah bekalan air.

"Kita juga harap para petani dapat mengikut jadual penanaman yang disediakan agar tidak berlaku pembaziran air untuk saliran dan pengairan tanaman padi.

"Selalunya apabila kita terlewat dan tak ikut jadual... kat situlah bermulanya pembaziran air.

"Jadi kita kena jaga sumber air dan menggunakannya pada tahap optimum, sebagai persediaan sekiranya kemarau ini berpanjangan," katanya.

Terdahulu, Othman menyampaikan watikah perlantikan kepada 27 pelajar yang terpilih untuk menganggotai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Darulaman bagi sesi 2018/2019.

Turut hadir, Pengarah IPG Kampus Darulaman, Datin Naimah Jaafar. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com