PAN, PPBM Dijangka Tuntut Lebih Banyak Kerusi Dun Di Kedah


Meskipun beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan cuba untuk meredakan keadaan ketidakpuasan hati ramai pemimpin akar umbinya berhubung pembahagian kerusi, nampaknya ia semakin hangat diperkatakan di seluruh negara, termasuk di Kedah.

Pertikaian demi pertikaian semakin heboh diperdebat secara terbuka di kalangan ahli dan pemimpin peringkat bawah mereka termasuk di media sosial menandakan kemelut itu semakin meruncing.

Di Kedah, dikatakan berlaku pertikaian dan perebutan kerusi di antara semua parti gabungan itu khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Ekoran dari pembahagian kerusi Parlimen sebelum ini yang majoritinya diberikan kepada PPBM, dijangka PAN dan PKR akan menuntut lebih banyak kerusi Dun diagihkan kepada mereka ada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

PAN dijangka menyasarkan sebanyak 22 kerusi Dun untuk ditandingi melibatkan Kota Siputeh, Ayer Hitam, Jitra, Kuala Nerang, Bukit Lada, Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Kubang Rotan, Tokai, Sungai Tiang dan Sungai Limau.

Selain itu, Dun Guar Chempedak, Belantek, Jeneri, Tanjung Dawai, Pantai Merdeka, Bayu, Kupang, Kuala Ketil, Merbau Pulas dan Bandar Baharu juga dijangka menjadi sasaran parti yang dipimpin bekas Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ismail Salleh itu.

Sebanyak 4 kerusi Dun dijangka akan menjadi milik tetap PAN iaitu Alor Mengkudu, Pengkalan Kundor, Kubang Rotan dan Sungai Limau ekoran daripada pengaruh yang lebih kuat berbanding PPBM atau PKR.

Meskipun Ayer Hitam dianggap milik Timbalan Presiden PPBM, Dato' Seri Mukhriz Mahathir, namun dijangka beliau akan meninggalkan kerusi tersebut gara-gara jarang turun padang sebelum hilang jawatan Menteri Besar dan mungkin kerusi itu akan diambil alih PAN.

Namun begitu, PPBM juga dijangka akan menuntut sebanyak 22 kerusi untuk ditandingi, sama jumlah bilangan kerusi yang dijangka bakal dituntut PAN, melibatkan kerusi Ayer Hangat, Kuah, Kota Siputeh, Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kuala Nerang dan Pedu.

Selain itu, Dun Bukit Lada, Bukit Pinang, Bakar Bata, Anak Bukit, Tokai, Sungai Tiang, Guar Chempedak, Belantek, Jeneri, Tanjung Dawai, Pantai Merdeka, Bayu, Kupang dan Bandar Baharu turut dijangka menjadi sasaran PPBM.

Difahamkan bahawa PPBM menganggap semua kerusi di Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Pendang, Merbok, Sik, Baling dan Sungai Petani merupakan 'kubu kuat mereka' serta berpotensi besar untuk dimenangi berbanding parti lain.

Walau bagaimanapun, PKR pula dikatakan hanya bersikap sederhana dan dijangka hanya menuntut sekitar 10 kerusi Dun sahaja, manakala DAP pula dijangka bakal menuntut pertambahan kerusi daripada 2 Dun kepada 4 Dun.

Antara 10 kerusi yang dilihat menjadi sasaran PKR adalah Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam, Pedu, Bakar Bata, Kota Darulaman, Gurun, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Kuala Ketil, Merbau Pulas, Lunas dan Kulim.

DAP pula yang kini menyandang kerusi Dun Kota Darulaman dan Derga dijangka akan menuntut 2 lagi kerusi tambahan sama ada Gurun, Lunas, Kulim, Bakar Arang atau Bukit Selambau, kerusi yang sebelum ini ditandingi PKR.

Kemelut pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan Pakatan Harapan sudah sekian lama dijangka oleh ramai penganalisis politik negara dan ia terbukti benar apabila huru-hara berkenaan sedang hangat berlaku di seluruh negara hingga memaksa campur tangan pusat.

Walau bagaimanapun, PAS Negeri Kedah pula dijangka akan meletak semua calon mereka di setiap Dun di negeri ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Pesuruhjayanya, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, sebelum ini.

Terkini, timbul perdebatan hangat di kalangan akar umbi dan pemerhati politik di negeri ini yang mendakwa kekuatan parti di dalam Pakatan Harapan tidak mampu menandingi kekuatan PAS yang dilihat lebih berpengaruh.

PAS yang pernah menguasai kerajaan negeri selama sepenggal sebelum ini dilihat tidak mempunyai sebarang masalah dalaman dan solidariti mereka hanya bertumpu untuk menguasai semula Dun dan Parlimen yang didakwa 'dicuri' PAN dan PPBM.

Terdapat juga hujah yang mengatakan bahawa kegagalan Pakatan Harapan menyaingi pengaruh PAS di negeri ini menandakan mereka hanya bermimpi di siang hari untuk menguasai Kedah dan melebih-lebihkan retorik politik yang tidak realistik.

"Kalau PAS Kedah pun mereka (Pakatan Harapan) tak dapat saingi, macam mana mereka nak kalahkan BN? Orang Kedah tidak bodoh untuk percaya pada propaganda itu," kata pandangan tersebut.

Sehingga kini, Barisan Nasional menguasai Dewan Undangan Negeri dengan majoriti mudah memiliki 20 kerusi, diikuti PAS sebanyak 7 kerusi, PKR; 4 kerusi, PPBM 2; kerusi (asal PAS, BN), DAP; 2 kerusi dan PAN hanya 1 kerusi (asal kerusi PAS). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com