Pakatan Sedang Huru-Hara, Tak Perlu Isytihar Darurat - Nor Sabrina


Desakan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya rakyat Malaysia menunjuk perasaan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan darurat bagi mengelak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan, adalah tidak kena pada tempatnya.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, sebagai pemimpin yang bukan diktator, Najib tidak akan melakukan perkara sedemikian dan tidak akan mengisytiharkan darurat hanya kerana ingin kekal berkuasa dengan mengelak PRU14 daripada diadakan.

“Bahkan, apa yang lebih nyata Dr Mahathir mahu memindahkan kuasa mengisytiharkan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri dalam 1993 tetapi gagal.

“Najib bukanlah seorang diktator dan akan mengambil tindakan seperti itu,” katanya dalam catatan terkini di laman blognya sskeruak.blogspot.my kelmarin,

Menurutnya lagi, faktor mengapa Dr Mahathir berkata Najib akan mengisytiharkan darurat kerana bekas Perdana Menteri itu menganggap Pakatan Harapan (PH) akan memenangi PRU14.

“Jika tidak berlaku kepada Mahathir, Barisan Nasional (BN) dan bukannya PH akan memenangi PRU-14. Maka kenapa perlu mengisytiharkan darurat untuk Najib kekal berkuasa dengan mengelakkan PRU-14,?” katanya.

Hakikatnya ujar beliau, Najib tidak boleh mengisytiharkan darurat kerana beliau hanya boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berbuat demikian dan Seri Paduka Baginda tidak semestinya mengikut nasihatnya.

Perpecahan pembangkang yang semakin parah menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad kini terpaksa menghasut rakyat untuk turun ke jalan raya berdemonstrasi malah membuat tuduhan tidak masuk akal.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Bandar Baru, Datuk Nor Sabrina Mohd. Noor menyifatkan dakwaan Mahathir itu adalah  tidak wajar sekali kerana  jentera Barisan Nasional  sudah membuat persiapan dan mula bergerak.

“Untuk apa isytiharkan darurat sedang kerajaan Barisan Nasional ketika ini sedang giat mempersiapkan jentera pilihan raya.

Malah Perdana Menteri sendiri mahu seluruh jentera BN melaksanakan persiapan mantap untuk berdepan PRU 14 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja,” kata beliau dalam portal UMNO Online.

Beliau yang juga anggota Exco berkata Mahathir sebenarnya terdesak apabila kem pembangkang semakin berpecah dengan isu calon Perdana Menteri dan juga pembahagian kerusi ketika ini.

“Jadi, dakwaan Mahathir ini hanyalah gambaran betapa terdesaknya pakatan pembangkang yang kini berada dalam keadaan yang cukup huru hara berdepan kemelut calon PM dan berebut kerusi pilihan raya,” katanya. - kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com