Nasib Pelarian Rohingya Dibela Ihsan Malaysia


Kurang dua minggu lagi, mandat Hospital Medan Malaysia di Ukhia di Cox's Bazar, Bangladesh akan berakhir. Setakat ini, tiada tanda negara lain akan membuka kemudahan kesihatan dengan keupayaan sama untuk menampung keperluan lebih 650,000 pelarian Rohingya di kawasan itu.

Hospital Medan Malaysia yang beroperasi sejak akhir November lalu setakat ini memberikan rawatan kepada lebih 3,700 pesakit, termasuk warga Bangladesh, menjadi tumpuan masyarakat sekitar kerana kelengkapan yang canggih, termasuk mempunyai 100 katil.

Umum di Malaysia tidak mengetahui betapa penting hospital ini kepada pelarian Rohingya yang kini menumpang teduh di khemah pelarian di kem Kutupalong, Balukhali hingga pelarian yang berada di sempadan Teknaf dan Bandarban (sempadan pergunungan antara Myanmar dan Bangladesh).

Saban hari, pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di kem dan penempatan pelarian yang sesak, khususnya di Kutupalong dan Balukhali, akan dirujuk ke hospital Malaysia yang dikendalikan Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dengan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Angkatan Tentera Malaysia.

Saban minggu ada sahaja nyawa diselamatkan di bilik kecemasan, bilik bedah dan bayi yang dilahirkan di bilik bersalin hospital yang diuruskan dan dijaga tenaga perubatan dan sukarelawan dari negara kita.


Kedudukan strategik

Hospital kita menjadi pilihan kerana faktor dekat dengan kem pelarian. Misalnya, ia hanya mengambil masa kurang 40 minit dari Kutupalong yang juga pelarian terbesar yang diduduki etnik tidak diiktiraf dari barat Myanmar itu sejak Ogos tahun lalu.

Sebelum ini, pesakit akan dihantar ke hospital di Cox's Bazar yang terletak lebih sejam setengah dari kawasan pelarian dan masa itu akan bertambah jika pelarian yang sakit dari kawasan sempadan seperti di Teknaf yang menjadi pintu masuk jalan laut ke Bangladesh.

NGO Malaysia seperti Mercy Malaysia, IMARET dan Malaysian Relief Agency (MRA) yang membuka klinik bergerak dan statik di kem pelarian berdekatan menjadi titik saringan kesihatan kepada pelarian Rohingya yang terjejas.

Setakat awal bulan ini, lebih 100 petugas perubatan, termasuk pakar, digerakkan NGO Malaysia untuk membantu pelarian Rohingya yang melarikan diri dari wilayah utara Rakhine (Arakan) sejak operasi berdarah tentera Myanmar pada 25 Ogos lalu.

Bantuan makanan usah disebut. Saban minggu ada sahaja individu, pertubuhan malah syarikat swasta seperti Jakel yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Rohingya yang diklasifikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai etnik paling tertindas di dunia.

Mercy Malaysia misalnya menggerakkan 70 sukarelawan, termasuk 54 petugas perubatan sejak September lalu. IMARET pula menggerakkan sukarelawan perubatan ke kawasan sempadan di Bandarban, selain membuka klinik bergerak/statik di Thangkhali dan Kutupalong.

Pengalaman bersama-sama ribuan pelarian sehelai sepinggang yang lari dari penindasan itu menyaksikan penulis kepada hakikat bahawa pelarian Rohingya dan isu etnik tidak bernegara itu amat berkait rapat dengan sikap dan tindakan kita di Malaysia.


Beberapa klinik dengan kemudahan bersalin kos rendah yang dibangunkan Mercy Malaysia dan IMARET di Kutupalong pula menjadi tumpuan pelarian Rohingya di sana dengan lebih 70,000 wanita dilaporkan mengandung daripada populasi etnik pelarian itu.

Di Balukhali pula ada perkampungan pelarian yang dinamakan 'ASEAN Village' dengan NGO dari rantau ini yang diterajui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Yayasan Amal bergabung membangunkan kawasan itu secara menyeluruh.

Di situ khemah sementara pelarian dibangunkan secara teratur, telaga tiub dan tandas dibina mengikut spesifikasi serta mempunyai sistem pengurusan pelarian yang lebih teratur. Sumber dana bagi perkampungan itu pula digerakkan akhbar harian di Malaysia yang cakna dalam isu Rohingya.

Di lokasi ini, Jalur Gemilang berkibar megah. Dalam kalangan pelarian, penduduk setempat dan pekerja bantuan asing, menyedari komitmen dan kesungguhan Kerajaan Malaysia diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan masyarakat awam di Malaysia membantu pelarian Rohingya.

Sekitar setahun lalu, gabungan NGO antarabangsa diketuai Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan MAPIM dengan 200 aktivis belayar dari Malaysia melalui misi Food Flotilla menghulurkan lebih 2,000 tan bantuan makanan dan perubatan kepada pelarian Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

Walaupun ada cakap-cakap kurang enak kononnya bantuan kita tidak sampai atau dirampas tentera Myanmar atau kelompok sami ekstremis di Myanmar, sukalerawan Malaysia yang belayar dengan kapal Nautical Aliya dari 3 hingga 23 Februari tahun lalu, ialah kumpulan kemanusiaan terbesar menghulurkan bantuan.


Musim hujan bermula

Bermula Mac ini, musim hujan akan bermula dan jika menurut angka pelan kontigensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM), lebih 100,000 pelarian Rohingya berada di kawasan berisiko tanah runtuh dan banjir. Situasi itu juga bermakna akan ada pelarian terdedah kepada risiko kemalangan dan penyakit.

Persoalannya, mampukah Rohingya bertahan tanpa bantuan Malaysia. Adakah Bangladesh mampu menampung keperluan pelarian yang semakin meningkat ketika pelan penghantaran pulang pelarian Rohingya kembali ke Myanmar kini berdepan pelbagai cabaran?

Keputusan itu kini bergantung kepada Perdana Menteri selepas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mengemuka laporannya kepada Najib, sekembalinya beliau dari misi delegasi khas yang turut disertai bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh pada 27 Januari lalu. Terus membantu Rohingya atau memberikan laluan kepada negara lain dalam perjuangan kemanusiaan membela etnik tidak bernegara ini?

Malaysia negara pertama menghantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh pada 9 September lalu, seminggu lebih selepas kebanjiran pelarian Rohingya dari Myanmar. Sehingga kini, Malaysia mengerahkan aset hospital medan dan peralatan perubatan bernilai RM18 juta dengan kos operasi keseluruhan hospital itu RM3.5 juta, untuk tempoh tiga bulan sehingga pertengahan bulan ini.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com