Myanmar Dakwa Tiada Kubur Besar Di Rakhine


YANGON – Myanmar menolak laporan wujud kawasan perkuburan besar di Rakhine, susulan tindakan ketenteraan ke atas pemberontak di wilayah itu, yang memaksa hampir 690,000 penduduk minoriti Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Agensi Associated Press dalam laporannya sebelum ini, mengesahkan kewujudan lebih lima kawasan perkuburan besar yang tidak pernah didedahkan di Gu Dar Pyin.

Laporan itu adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh hasil temubual dengan mangsa yang terselamat di kem pelarian di Bangladesh dan video yang dirakam menerusi telefon bimbit.

Sementara itu, Jawatankuasa Penerangan Kerajaan Myanmar dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook berkata, pihak berkuasa tempatan dan pegawai keselamatan sudah menubuhkan ‘pasukan khas’ bagi menyiasat laporan itu.

Jawatankuasa itu adalah sebahagian daripada pejabat yang diketuai pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.

“Pasukan khas terbabit sudah mengunjungi lokasi perkuburan besar seperti yang dinyatakan dalam laporan berita AP dan mendapati ia tidak benar sama sekali.

“Selain itu, mereka turut bertemu dengan penduduk kampung bagi mendapatkan maklumat sama ada berlaku insiden pembunuhan beramai-ramai atau sebaliknya.

“Namun, penduduk kampung memaklumkan bahawa ia tidak berlaku,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa 19 individu didakwa ‘militan’ yang maut ketika menyerang pasukan keselamatan, di kawasan perkampungan pada akhir Ogos lalu sudah dikebumikan dengan sempurna.

Bagaimanapun, dua etnik Rohingya yang masih tinggal di perkampungan berkenaan ketika dihubungi Reuters menerusi telefon, mempertikaikan kenyataan Kerajaan Myanmar itu.

Mereka berkata, perkuburan besar memang wujud dan mendedahkan pegawai kanan tentera mengunjungi perkampungan itu semalam.

Selain mengambil gambar, pegawai tentera itu turut mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung.

Dalam pada itu, Pengarah Perhubungan Media AP, Lauren Easton, berkata mereka tetap mempertahankan laporan berita terbabit.

Ketika ini, tiada wartawan dibenarkan memasuki kawasan itu yang terletak di utara Rakhine. – Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com