Mukhriz Dijangka Tidak Pertahan Kerusi Dun Ayer Hitam


ALOR SETAR - Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dijangka tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam, namun beralih untuk bertanding di Dun yang lain pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka bakal berlangsung tidak lama lagi.

Jangkaan tersebut adalah berdasarkan rungutan orang ramai di kawasan itu yang mendakwa beliau tidak memberikan perhatian penuh dan kurang mengambil peduli tentang maslahah masyarakat kampung di sana.

Salah seorang pengundi beliau yang enggan dikenali berkata, meskipun Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah selama hampir tiga tahun, beliau hanya sering mewakilkan tugas wakil rakyat kepada pegawai suruhannya sahaja.

Lantaran itu, banyak masalah dan urusan kebajikan orang kampung yang tidak dapat diselesaikan dengan sempurna, selain keadaan insfrastuktur di kawasan tersebut yang disifatkan terlalu dhaif, tidak diselenggara dengan baik.

"Bila Mukhriz jadi Menteri Besar, sudah tentu kami pengundinya dulu rasa bangga. Namun dia macam 'indah khabar dari rupa'. Kita ingat dia bagus jaga rakyat, tapi rupanya nak tengok batang hidung pun susah.

"Banyak masalah tak selesai. Tapi kerana sayang, kami diamkan saja. Tapi bila dah dekat 3 tahun jadi MB, ramai yang mula merungut. Merungut 4-5 kali, barulah dia turun. Itu pun sat saja dia singgah, tak sempat panas punggung, dia 'hilang' pulak...

"Cuba tengok jalan di kampung-kampung di sini. Kami ingat lepas dia naik jadi MB, jalan-jalan ni semua akan diturap dan diselenggara dengan baik, rupanya habuk pun takdak," rungutnya.

Namun begitu, masalah berkenaan difahamkan sedang  cuba diatasi selepas kawasan terbabit diambil alih oleh Ahli Parlimen Jerlun. Dato' Othman Aziz dan Adun Kota Siputeh, Dato' Abu Hasan Sharif.

"Sekarang ini, barulah nampak 'rupa' jalan sikit. Kalau dulu, batas ban pun tak berlopak lagu tu. Itupun masih banyak lagi jalan yang perlu diperbaiki," tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Nazri berkata, meskipun penyokong Mukhriz mengalu-alukan bekas Menteri Besar itu bertanding semula di Dun Ayer Hitam, namun sokongan terhadapnya tidak lagi sehebat dulu.

Jelasnya, selepas Mukhriz tidak lagi menjadi Menteri Besar, barulah beliau turun ke kawasan berkenaan, namun hanya lebih kepada berkempen kepada penduduk di situ untuk menyokong parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dan menghulurkan sedikit "dedak" kepada orang kampung yang dilawati.

"Adalah sekali sekala dia turun. Itupun turun kempen suruh orang masuk PPBM. Dia hulurlah sikit 'dedak', di bungkusan tu ada gambar dia dan lambang parti. Politiklah tu...

"Adalah sikit saki baki yang sokong dia. Itupun mungkin sebab bapanya. Tak ramai pun, tapi riuhnya macam ramai. Dia boleh bertanding kat sini lagi, tapi menang belum tentu. Mungkin kalah kot," katanya yang mengaku penyokong Mukhriz pada PRU yang lalu.

Mukhriz sebelum ini dijangka akan bertanding di peringkat Dun dan Parlimen bagi menjamin survival politik beliau pada PRU ke-14 yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

Desas-desus menjangkakan kemungkinan bekas Menteri Besar itu bertanding di kerusi Ayer Hitam, Bakar Bata atau Jitra bagi peringkat Dun, manakala bagi kerusi Parlimen berkemungkinan di Jerlun, Merbok atau Kubang Pasu.

Sebelum ini, beberapa pihak mencadangkan supaya Mukhriz bertanding di Parlimen Padang Terap bagi tujuan mengalahkan penyandangnya, Dato' Seri Mahdzir Khalid, namun dijangka Timbalan Pengerusi PPBM itu tidak berani berbuat demikian. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com