Muka Kanak-Kanak Dibakar Untuk Halau Roh Jahat


MASSACHUSETTS, Amerika Syarikat – Dua adik-beradik wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Brockton di sini atas kesalahan mencederakan dua kanak-kanak semasa melakukan amalan sihir voodoo di Bridgewater Timur baru-baru ini.

Kedua-dua tertuduh, Rachel Hilaire, 40, dan Peggy LaBossiere, 51, didakwa menyemburkan api pada wajah mangsa seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun dan abangnya berusia lapan tahun selepas diminta oleh ibu kanak-kanak itu.

Menurut laporan, kedua-dua mangsa diikat menggunakan tali sebelum amalan ritual itu dilakukan untuk menghalau roh jahat keluar daripada jasad kedua-dua beradik berkenaan.

Polis menahan ketiga-tiga wanita itu selepas mengunjungi kediaman mangsa hasil maklumat daripada penduduk setempat.

Kanak-kanak perempuan itu mengalami luka terbakar kelas ketiga selain beberapa luka kesan dikelar pada tubuh menggunakan sejenis senjata tajam. Abangnya pula dipaksa berbogel sebelum disapukan sejenis tumbuhan dan disemburkan api.

Ibu kanak-kanak itu memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia berasakan anak-anaknya dirasuk roh jahat, manakala Hilaire dan LaBossiere menggunakan ritual voodoo Haiti untuk menghalau roh itu, lapor portal Wicked Local.

Hilaire dan LaBossiere dikenakan ikat jamin AS$50,000 (RM194,400) dan akan dibicara pada minggu hadapan atas tuduhan menyebabkan huru-hara, serangan dan penderaan seksual ke atas remaja bawah 14 tahun menggunakan senjata berbahaya.

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com