Mitos Kewujudan Gunung Keriang di Kedah


Gunung yang wujud di negeri Kedah tidaklah banyak tetapi apa yang menarik mengenai gunung di Kedah ialah cerita di sebalik kewujudan gunung-gunung tersebut. Untuk makluman pembaca setia Kedahnews.com, gunung yang menarik minat saya untuk berkongsi bersama pembaca adalah Gunung Keriang. 

Gunung Keriang mempunyai hanya 217.92 meter dari paras laut. Gunung ini tidaklah setinggi mana kerana hanya mengambil masa selama satu jam sahaja untuk sampai ke atas, namun uniknya penduduk di sini tetap menggelar ianya sebagai gunung. 


Gunung Keriang merupakan satu artifak pra-sejarah yang mengandungi pelbagai khazanah berharga dan misteri di dalamnya. Mitos mengenai Gunung Keriang diperdengarkan oleh orang-orang tua yang tinggal disekitar kawasan tersebut. 

Menurut mereka, cerita mengenai Gunung Keriang bermula apabila ada makhluk aneh dan mistik bernama Sang Gedembai yang telah jatuh cinta terhadap puteri raja. Namun lamarannya untuk berkahwin dengan puteri raja tersebut telah ditolak dan hal ini menyebabkan Sang Gedembai berasa marah dan tercabar. 


Sang Gedembai merupakan makhluk yang mempunyai kuasa sakti dan disifatkan mempunyai tubuh badan yang tinggi dan besar. Sang Gedembai dikatakan tinggal di sebuah hutan dan berkuasa untuk menyumpah sesiapa sahaja yang dikehendakinya menjadi batu. 

Kemarahan Sang Gedembai terhadap puteri raja sudah sampai ke kemuncaknya apabila dia sanggup menyumpah puteri raja menjadi batu. Sewaktu peristiwa itu berlaku dikhabarkan sebuah kapal sedang membawa Pengantin Diraja iaitu puteri raja tersebut berlayar ke suatu tempat. 


Bukti yang mempamerkan bahawa Gunung Keriang ini berasal daripada sebuah kapal adalah berdasarkan penemuan terhadap tali panjang yang sebesar lengan dan ianya dipercayai tali daripada sebuah kapal. 

Selain itu, di dalam Gunung Keriang juga terdapat sebuah gua yang dipercayai terdapat peninggalan serpihan-serpihan pinggan yang amat banyak kepunyaan tuan puteri raja. Penemuan tersebut menguatkan mitos yang diceritakan oleh orang-orang yang terdahulu. 


Bukti lain yang terdapat di Gunung Keriang ini adalah terdapat sebuah batu yang menyerupai manusia dan batu tersebut kelihatan seperti pengantin Cina bersanggul lintang dipercayai merupakan tuan puteri yang disumpah oleh Sang Gedembai. 


Sejauh mana kesahihan cerita ini kita tidak dapat pastikan, namun apa yang pasti ciri-ciri yang diceritakan semuanya terdapat di Gunung Keriang. Sehingga kini Gunung Keriang menjadi misteri dan tanda tanya penduduk mengenai kewujudannya. 


Percaya atau tidak itulah mitos yang disampaikan oleh rakyat-rakyat yang sudah lama menginap di sini. Betul atau tidak terserah kepada kepercayaan dan fahaman masing-masing. Turut dikatakan juga gunung ini merupakan sumber pendapatan bagi rakyat di sekitarnya. 

Penduduk di sini menjadikan batu-batu di gunung ini sebagai baja untuk penanaman padi sawah dan tahi kelawar juga dijadikan sumber ekonomi mereka. Apa yang pasti Gunung Keriang ini haruslah dipelihara kerana gunung ini menyimpan seribu satu khazanah yang amat bernilai jika betul-betul mengkajinya. 


Kerajaan Negeri Kedah juga telah mewartakan Gunung Keriang sebagai kawasan pelancongan negara. Jika anda mahu ke sini mudah sahaja anda hanya perlu menggunakan aplikasi waze dan google Maps. 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com