Menyamar Jadi Polis Jual Kenderaan Di Facebook


Kuala Lumpur: Menyamar sebagai pegawai polis bagi melakukan penipuan untuk urusan jual beli kenderaan menerusi media sosial.

Itu taktik digunakan satu akaun Facebook yang dikesan menggunakan gambar Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif sebagai gambar profil untuk menyamar bagi melakukan penipuan.

Akaun Facebook yang menggunakan nama Syafiq Syafiq terbabit dikesan aktif memuat naik status bagi menjual kereta dan motosikal sejak awal bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu dikesan selepas terdapat pegawai polis yang mengenali gambar individu yang digunakan suspek sebelum membuat laporan polis.

Sumber polis berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan akaun Facebook palsu dan kerap menggunakan gambar pegawai serta anggota polis bagi tujuan penyamaran.

Katanya, akaun palsu terbabit dikesan kerap memuat naik status bagi menjual kereta dan motosikal di kumpulan Facebook berkaitan urus niaga kenderaan terpakai.

“Kenderaan ditawarkan suspek juga murah berbanding harga pasaran dipercayai bagi menarik minat orang ramai.

“Suspek juga didapati menggunakan akaun bank tempatan milik seorang wanita bagi setiap urusan jual beli kereta dan motosikal terbabit.

“Bagaimanapun, suspek terbabit didapati menutup akaun Facebook berkenaan selepas kegiatannya disedari ahli satu kumpulan jual beli motosikal dan mereka mendedahkan kegiatan penyamaran dilakukan suspek yang melakukan penipuan,” katanya.

Mohamad Roy ketika dihubungi turut mengesahkan akaun Facebook digunakan suspek adalah palsu.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com