Mayat Bayi Ditinggalkan Di Tepi Pagar Masjid Di Jitra


ALOR SETAR – Mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat ditemui seorang jemaah di tepi pagar Masjid Pulau Ketam, Jitra, awal pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt. Mohd Ismail Ibrahim berkata, mayat yang masih bertali pusat itu ditemui jemaah berusia 60-an ketika pergi ke masjid itu untuk menunaikan solat subuh kira-kira 5.30 pagi.

Katanya, pihak polis menerima panggilan kira-kira 6.30 pagi berhubung penemuan mayat bayi yang dibalut dengan kain batik dan dibungkus dengan plastik hitam di pagar masjid tersebut.

“Berdasarkan percakapan saksi itu, beliau yang membuat pemeriksaan mendapati ada seorang bayi yang sudah tidak bernyawa yang dibungkus dengan kain batik,sebelum beliau menghubungi polis.

“Mayat itu dalam keadaan sudah kembung dan bengkak kerana dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam yang lalu dan perkara itu disahkan oleh pasukan perubatan dari Hospital Jitra,” katanya menerusi kenyataannya di sini, semalam.

Sejurus itu, mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Saya meminta agar sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini atau ibu bayi berkenaan agar tampil melaporkan kepada kita untuk membantu dalam siasatan,” katanya memetik Bernama. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com