Masjid Di Pendang Perlu Sumbangan Bina Pendawaian Elektrik


ALOR SETAR - Masjid Kampung Sungai Baru Pendang telah siap dibina namun malangnya masih memerlukan lebih banyak bantuan atau sumbangan bagi menyempurnakannya.

Ketua Penaja pembinaan Masjid Sungai Baru, Abdul Hamid Ahmad berkata, pembinaan masjid ini telahpun siap akan tetapi pihaknya masih memerlukan sumbangan kira-kira RM1.5 juta bagi urusan pendawaian elektrik dan bekalan air.

"Kalau ada dana untuk masuk air dan elektrik Insya-ALLAH masjid ni dah boleh digunakan secara terus," katanya.


Apa yang difahamkan,  kira-kira 1100 jemaah berhasrat untuk menggunakan masjid bekenaan menjelang Ramadan ini.

Katanya, akibat masih kekurangan maka masjid tersebut masih belum dapat digunakan dan dikatakan pemasangan elektrik dan air memerlukan modal yang besar kerana melibatkan ruang masjid yang luas.

"Masjid ini boleh memuatkan kira-kira 1100 jemaah dalam satu masa," katanya ketika ditemui pemberita.

Didedahkan Abdul Hamid, pembinaan masjid ini dari awal hingga sekarang hanya menggunakan wang sumbangan orang ramai.


"Alhamdulilah, ramai yang memberi tapi itulah, kami pihak pengurusan dana sangat berharap agar masih terdapat sumbangan orang ramai supaya pemasangan bekalan air dan pendawaian elektrik dapat dilakukan dengan cepat," katanya.

Oleh yang demikian, pihaknya mengharapkan sumbangan orang ramai dan pihak tertentu bagi menyempurnakan hasrat tersebut.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada pembinaan masjid ini boleh berbuat demikian di Bank Islam Berhad 02084010032167 atas nama Tabung Pembinaan Masjid Kariah Sungai Baru. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com