Masjid Alwi Kangar Di Iktiraf Sebagai Tapak Warisan Negara


KANGAR - Pewartaan Masjid Alwi di tengah bandar ini sebagai Tapak Warisan Negara, kelmarin disifatkan sebagai penghargaan yang sangat besar nilainya kepada masyarakat setempat.

Setiausaha Masjid Alwi, Zakaria Kob, 65, berkata, penyenaraian itu pengiktirafan tertinggi kepada masjid berkenaan yang dibina atas dasar takwa oleh masyarakat dulu bagi memudahkan mereka melakukan aktiviti harian dan memenuhi tuntutan agama.

“Berbekalkan kutipan zakat dan derma RM68,684 termasuk RM20,000 sumbangan kerajaan negeri ketika itu, masjid tertua di negeri ini dibangunkan pada 10 Februari 1933.

“Namun sebenarnya, usaha mengumpulkan wang untuk pembinaannya dilakukan sejak 1920-an yang mana ketika itu masyarakat Islam setempat mahukan pusat agama dibangunkan,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Menurutnya, pada awal pembinaan masjid berkenaan, tiada langsung campur tangan pihak tertentu dan masyarakat ketika itu dilihat ikhlas membinanya.

“Melihat keadaan masyarakat terutama orang Islam yang makin bertambahi, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang mula mengumpulkan dana membinanya.

“Jadi pihak masjid menzahirkan kesyukuran dan mudah-mudahan masyarakat terdahulu diberikan ganjaran setimpal atas pengorbanan mereka ketika mengumpulkan dana untuk membina Masjid Alwi ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man ketika dihubungi berkata, penetapan masjid berkenaan sebagai tapak warisan negara adalah satu pengiktirafan kepada Perlis.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan pengiktirafan berkenaan dan semasa kita melakukan pembaikan semula bangunan masjid dua tahun lalu, kita mengikut spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Warisan Negara bagi mengekalkan bentuk asalnya,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com