Mangsa Kebakaran Di Kuala Kedah Terpaksa Diami Pondok Usang


KUALA KEDAH - Sebuah pondok usang diperbuat daripada sisa buangan menjadi tempat buat empat beranak dari Kampung Kubang Panggas, Kubang Rotan, di sini.

Siti Rohaya Mat Isa, 28, berkata, dia bersama suami dan dua anak perempuan terpaksa tinggal di pondok usang selepas rumah didiami mereka sejak tujuh tahun lepas terbakar pada tahun lalu.

“Sebelum ini, kami masih tinggal dalam rumah itu, sehinggalah ia terbakar dan mula senget hingga tidak selamat lagi untuk didiami kami anak beranak.

“Jadi, kami ambil keputusan bina pondok usang yang hanya mampu memuatkan kami anak beranak berdekatan rumah lama diperbuat dari kayu dan kain rentang dikutip suami dari kawasan berhampiran,” katanya.

Rohaya berkata, pondok usang dalam keadaan serba kekurangan itu menjadi tempat mereka empat beranak menumpang teduh dari panas dan sejuk sejak lebih kurang enam bulan lepas.

“Di situlah, kami makan, di situlah kami tidur, memasak dan melakukan pelbagai aktiviti harian lain kecuali pakaian diletakkan di rumah lama kerana tidak muat di pondok usang itu,” katanya.

Menurutnya, jikalau orang lain tidur ditemani katil yang empuk, namun mereka sekeluarga hanya cukup berselimutkan apa yang ada dalam pondok usang itu.

Katanya, mereka sebenarnya enggan menyusahkan sesiapa, bagaimanapun keadaan pondok yang uzur berkenaan dikhuatiri tidak selamat untuk anaknya, Siti Nur Zulaikha, 7, dan Siti Nur Batrisyia, 6.

Jelas Rohaya, walaupun memerlukan tempat tinggal selamat dan selesa, bagaimanapun dia suami isteri tidak mampu memandangkan pendapatan suaminya, Hamidi Shah Shahul Hamid, 36, tidak menentu.

"Sebulan dapat dalam RM500 hingga RM600 hasil upah keluar ke laut, kutip bahan terbuang ataupun membaiki rumah. Kami memang tak mampu,” katanya.


Ditambah pula, katanya, wang pendapatan suaminya digunakan untuk menampung kos sara hidup mereka anak beranak dan persekolahan anak sulungnya.

"Saya merayu supaya mana-mana pihak dapat tampil membantu merealisasikan impian kami untuk mendiami rumah selesa dan selamat," katanya.

Ibu mertuanya, Norlia Hassan, 59, berkata, dia sedih mengenangkan nasib anak lelaki, menantu dan cucunya yang terpaksa tinggal di pondok usang itu.

“Mak cik nak bantu tapi tak berdaya sebab rumah mak cik dah tak muat.

"Jadi mak cik sentiasa bantu mereka dengan cara lain. Apa yang diperlukan, mak cik akan berikan mengenangkan keadaan cucu,” katanya.

Bagi sesiapa ingin meringankan bebanan keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya (0210929000157656).

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com