Malu Tak Ada Wang Saku, Pelajar Tingkatan 3 Dari Sik Tidak Teruskan Persekolahan


ALOR SETAR - Seorang pelajar Tingkatan Tiga mengambil keputusan untuk tidak meneruskan persekolahan sejak tahun lalu kerana malu akibat sering tiada wang saku untuk dibawa ke sekolah.

Menurut ibunya, Azizah Zamidi, 44, berkata, anaknya, Mohd Najmi Shahabudin, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeniang tidak lagi bersekolah walaupun hasratnya mahu belajar hingga tamat Tingkatan Lima.

"Sebab tak ada duit, anak terpaksa ponteng. Dalam seminggu kadang-kadang hanya tiga kali dia pergi sekolah.

"Lama-kelamaan dia jadi malu sebab selalu cikgu tanya. Suatu hari tu anak beritahu dia taknak lagi pergi sekolah sebab malu dengan cikgu dan kawan-kawan," katanya memetik Sinar Online.

Berikut adalah kata-kata Azizah ketika ditemui dalam majlis Kayuhan kembali ke Sekolah di Kampung Kuala Ruman, kelmarin.

Tambahnya, pendapatannya hanya bergantung kepada upah menoreh getah manakala suami pula hanya bekerja sebagai buruh kampung.

"Daripada empat, hanya dua yang bersekolah sekarang iaitu anak kedua, Puteri Balqis berusia 12 tahun dan Puteri Rania berusia lapan tahun.

"Keputusan kami nak daftar anak bongsu, Nor Haniza berusia enam tahun di tadika juga tak kesampaian sebab duit memang tak cukup," ujarnya.

Jelas Azizah, masalah ketiadaan wang saku juga dihadapi Puteri Balqis dan Puteri Rania hingga memaksa mereka tidak hadir ke sekolah pada waktu tertentu.

Selain itu difahamkan, Azizah turut menerima bantuan modal perniagaan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) termasuk agensi lain.

Malah katanya, kira-kira tiga tahun lepas suaminya ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi bantuan itu sudah diberhentikan.

"Saya juga nak berterima kasih di atas bantuan basikal dan makanan yang disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO), Shah Alam Residents," katanya.

Sebelum ini, 43 murid daripada 15 keluarga dari Kampung Kuala Ruman, Kampung Kota Bukit dan Kampung Padang Chicar Mukim Jeneri menerima basikal serta makanan daripada Shah Alam Residents dan dibantu Pertubuhan Ehsan Penyayang Selangor Care, Yayasan Kasih Tauhid dan Langit Ilahi.Com.

Gabungan NGO berkenaan turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma dan membekalkan ubat-ubatan kepada pesakit.

Sementara itu, Pengarah Progam, Hisham Misrifin berkata, harapan pihaknya agar setiap lapisan masyarakat mementingkan ilmu agar dapat mengubah nasib diri dan keluarga. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com